Terima kasih cikgu!
Guru Pedalaman Sarawak Ini Terharu Apabila Ibu Bapa Murid Sanggup Ke Pekan Hantar Pencalonan. Bercerita tentang guru, pasti ada 1001 cerita yang kita dengar. Ada di antaranya yang memberi motivasi, bahkan ada juga di antara yang tidak enak didengar seperti kisah Ain dan lawak lucah gurunya yang tular beberapa minggu ini.
Namun demikian, tidak semua guru begitu. Jauh di sudut pedalaman Sarawak, masih ada guru yang benar-benar berdedikasi mengajar anak murid sehingga kehadiran mereka dikenang dan diingati walaupun tidak lagi bertugas di tempat lama.
Inilah yang berlaku kepada seorang guru sekolah rendah yang bernama Muhammad Nazmi Bin Rosli. Hari ini, tular satu perkongsian daripada beliau berkenaan pencalonannya untuk satu anugerah guru. Namun demikian, apa yang membuatkan beliau terharu adalah pencalonan tersebut dibuat oleh ibu bapa murid yang sanggup ke pekan mendapatkan internet untuk mencalonkan guru tersebut!

Sumber : Twitter Muhammad Nazmi
Sanggup redah pedalaman ke pekan selama 3-4 jam untuk hantar pencalonan buat Cikgu Nazmi
Berdasarkan ciapan Muhammad Nazmi di Twitter nya, ibu bapa bekas pelajarnya di SK Long Sukang telah mencalonkan beliau untuk anugerah Taylor’s Rise Educator Award. Apa yang membuatkan air matanya gugur adalah disebabkan pengorbanan ibu bapa muridnya yang sanggup datang dari pedalaman ke kawasan pekan yang mengambil masa kira-kira 3 hingga 4 jam semata-mata untuk mendapatkan capaian internet sekaligus menghantar pencalonan tersebut.
Poster pencalonan anugerah tersebut juga turut memberi penerangan tentang jasa dan pengorbanan Cikgu Nazmi sehingga beliau diberi penghargaan sedemikian rupa. Menurut Jenny Bulan Gelawat, individu yang bertanggungjawab menghantar pencalonan tersebut, Cikgu Nazmi telah melakukan pelbagai perkara untuk mengajar anak-anak mereka walaupun mereka tinggal di kawasan pedalaman dan mengalami banyak kekangan.
Sehingga kini, ciapan tersebut telah mendapat 1.8K ulang kicau dan 2.7K tanda suka.
Parents from my old school nominated me for this award. I cried bcoz they live in rural areas in Srwk & they troubled themselves to go to the nearest town 3-4 hours to get internet connection to nominate me. 😭😭😭❤️
— Muhammad Nazmi (@chuckee_little) May 2, 2021
Thnk you🙏😔😭
Pls click the FB link below & like pic to vote pic.twitter.com/RZmDbA3tmj
Cikgu Nazmi realisasikan pengalaman berenang di kolam renang guna 200 plastik sampah
Tambah Jenny lagi, anak-anak mereka tidak pernah merasa berenang di dalam kolam renang yang sebenar tetapi Cikgu Nazmi merealisasikan impian mereka melalui sesi pengajaran dan pembelajaran yang kreatif menggunakan 200 keping plastik sampah. Bahkan, cikgu lelaki ini juga telah menjadikan kelas mereka sebagai sebuah pusat dobi bagi membolehkan anak-anak pedalaman ini merasai pengalaman ke kedai dobi.


Terima kasih juga kepada Cikgu Nazmi kerana memberi pengalaman menaiki kereta api melalui inisiatifnya menggunakan tiang katil. Jelas Jenny, Cikgu Nazmi tetap memberikan yang terbaik untuk anak murid mereka meskipun menggunakan sampah sarap dan bahan terbuang tatkala kawasan mereka tiada elektrik dan internet.
Hantar kerja sekolah depan pintu rumah sampai sesat dalam hutan
Bukti kegigihan Cikgu Nazmi tidak terhenti di situ sahaja. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), guru Bahasa Inggeris ini juga sanggup menghantar kerja sekolah pelajar ke rumah mereka di kampung pedalaman menggunakan kenderaan pacuan empat roda. Panas hujan dan kesesatan di dalam hutan juga sanggup diredah asalkan pelajar ini tidak ketinggalan dalam pelajaran sehinggalah sekolah dibuka semula. Penghantaran kerja sekolah ini telah memanfaatkan seramai 111 orang murid di 13 buah kampung di pedalaman Sarawak, khususnya di Lawas.



Selain daripada pencalonan ini, Cikgu Nazmi pernah menjadi pemenang Anugerah Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) Kementerian Pendidikan Malaysia 2019. Untuk tahun ini pula, Cikgu Nazmi telah dijemput sebagai juri untuk Anugerah Cikgu Kickstart anjuran Edufication dan YTL Foundation.
Kini, Cikgu Nazmi berkhidmat sebagai penolong kanan di SK Luagan, Lawas dan meneruskan inisiatif luar biasanya untuk menarik perhatian murid untuk terus belajar dan menimba ilmu. Syabas dan teruskan usaha, Cikgu Nazmi! Kami sentiasa menyokong guru berdedikasi seperti anda!

Anda boleh memberi kegembiraan dan penghargaan atas pengorbanan ibu bapa murid ini dan Cikgu Nazmi dengan mengundi (LIKE dan SHARE) di pautan ini : https://bit.ly/2QOkOPu