Sejarah kuno disebalik Bubur Pedas hidangan istimewa di Sarawak.
Hidangan Wajib Pada Bulan Ramadan Di Sarawak, Ketahui Kisah Menarik Disebalik Bubur Pedas. Salah satu hidangan yang wajib ada di bulan puasa, Bubur Pedas adalah menu istimewa dari Sarawak yang amat digemari penduduk tempatan.
Bubur pedas merupakan hidangan bubur yang mengandungi pelbagai campuran sayur-sayuran. Kebiasaannya, sayur yang digunakan adalah sayur-sayuran kampung seperti pucuk ubi, daun kunyit, pucuk midin, batang pisang dan banyak lagi. Menariknya, tiada sayur-sayuran yang spesifik untuk membuat bubur pedas ini. Ia bergantung pada citarasa anda.

Terdapat sebuah kisah sejarah kuno disebalik bubur pedas
Tahukah anda disebalik hidangan istimewa ini terdapat sebuah kisah sejarah kuno zaman dahulu mengenai Bubur Pedas ini. Kisah ini berkait rapat dengan masyarakat Melayu Sambas di Sarawak pada satu ketika dahulu.
Pada satu ketika dahulu, seorang Raja yang disayangi oleh rakyatnya di Sambas telah jatuh sakit. Raja Sambas ini merupakan raja yang disayangi rakyat jelatanya kerana beliau merupakan seorang pemimpin yang bijaksana dan berjaya memerintah wilayahnya dengan makmur.
Oleh kerana telah jatuh sakit berkenaan, Raja tersebut telah hilang selera makan dan membuat tubuhnya yang sasa menjadi kurus kering. Beratus dukun dan juga pawang telah dipanggil untuk menyembuhkan beliau tetapi tiada satu pun yang berhasil.

Seorang wanita tua datang ke istana
Pada suatu petang, seorang wanita tua telah datang ke istana raja dengan membawa beberapa bahan mentah di dalam bakulnya. Apabila disapa oleh pengawal raja, wanita berkenaan tanpa berasa malu mengatakan niatnya datang adalah untuk mengubati penyakit raja.
Walaupun dalam kesakitan, raja Sambas tersebut telah bersetuju untuk dirawat oleh rakyatnya yang merupakan seorang wanita tua berkenaan. Wanita tersebut meminta izin daripada raja untuk memasakkan sebuah hidangan untuknya di dapur istana.
Setelah selesai menyediakan hidangan ajaibnya itu, aroma masakannya itu telah membuatkan raja yang sedang sakit terbaring angkat mencium bau masakannya dari jauh.
Setelah dipersembahkan hidangannya itu, raja tanpa segan silu menikmati hidangan tersebut sehinggakan beliau bertambah-tambah makanan yang disediakan kepadanya itu. Sungguh ajaib!

Bubur Pedas mula menjadi semakin terkenal
Apabila kenyang dan selesai makan, barulah raja bertanya kepada wanita tua itu apakah hidangan yang baru sahaja dinikmatinya itu? Wanita itu lalu menceritakan bahawa hidangan istimewa ini merupakan ‘Bubur Pedas’ dan merupakan salah satu makanan tradisional yang boleh memulihkan tenaga kerana di dalamnya mengandungi pelbagai rempah ratus dan juga sayur-sayuran yang menyegarkan.
Sejak itu, kesihatan raja semakin pulih, hidangan bubur pedas ini menjadi salah satu hidangan wajib buat Raja Sambas. Hidangan ini dalam masa yang sama juga turut dijadikan menu buat rakyat jelata di negeri tersebut sehingga ianya menjadi terkenal di Sarawak.
Berikutlah kisah mengenai bubur pedas yang merupakan hidangan istimewa di Bumi Kenyalang ini. Jika anda pernah menikmati Bubur Pedas, tidak dapat dinafikan menu ini sememangnya akan menyegarkan tubuh badan setelah perut berasa kosong seharian.