Sehingga kini, isterinya masih berusaha mencari suaminya yang hilang.
Hilang 2 Bulan Tanpa Jejak, Misteri Kehilangan Askar Ini Selepas Pergi Bercuti Jadi Tanda Tanya. Kehilangan seorang lelaki yang berasal dari Sarawak telah menjadi perhatian ramai di sebuah group di Facebook. Apatah lagi lelaki tersebut adalah seorang individu yang bekerja sebagai anggota tentera yang umum mengetahui agak sukar untuk mendapatkan cuti.
Melalui hantaran yang di muat naik seorang wanita, Vniez Namuh di group Rakyat Sarawak di Semenanjung, suaminya yang bernama Lorenzo Landdu Anak Sylvester telah menghilang tanpa khabar berita sejak 2 bulan yang lalu. Kali terakhir pasangan tersebut berhubung adalah pada 4 Jun 2021. Suaminya yang bertugas di Sabah didakwa mendapat kelulusan untuk pergi bercuti ke Masai, Johor namun hilang sewaktu penghujung cutinya.
Suami wanita itu juga sempat menghantar sekeping gambar yang menunjukkan dirinya semasa berada di alamat percutian yang kemudian dimuat naik oleh Vniez di laman Facebook bagi membolehkan orang ramai mengenal pasti keberadaan suaminya itu.

Bertugas di Sabah tapi alamat bercuti di Johor
Jelasnya lagi, laporan polis juga telah dibuat namun tiada apa-apa perkembangan yang didapati setakat ini. Anak-anak mereka juga sudah mula meronta bertanya tentang bapa mereka.
Difahamkan, pasangan ini telah berkahwin selama 7 tahun dan mempunyai 2 orang cahaya mata. Maklumat dari kem tempatnya bertugas (Kem Lok Kawi) juga memaklumkan bahawa suami Vniez tidak dapat dihubungi dan kini disahkan sebagai tidak hadir kerja.


Menurut Vniez juga, last seen Whatsapp suaminya dilihat pada 5 Jun 2021, sehari selepas kali terakhir suaminya menghubungi keluarganya.

Netizen dakwa ada lelaki mirip Lorenzo sedang jalani latihan komando di Mersing
Meninjau ke ruangan komen pula, terdapat segelintir netizen yang mengakui pernah melihat kelibat lelaki tersebut. Ada yang mendakwa bahawa lelaki yang mirip suami wanita ini dikatakan sedang menjalani latihan komando di Mersing, Johor. Kursus tersebut difahamkan telah berlangsung selama 1 bulan setengah.
Namun demikian, agak mustahil jika pihak dari kem memberitahu bahawa suaminya itu tidak hadir bertugas sekiranya benar suami Vniez menjalani latihan komando. Hmmm.


Anggota tentera THTC selama 100 hari akan dibuang perkhidmatan
Ada juga netizen yang membuat spekulasi bahawa lelaki ini berkemungkinan THTC (tidak hadir tanpa bercuti). Menurut info yang dikongsikan oleh netizen, jika seseorang askar didapati THTC, pihak polis tentera atau MP tidak akan melakukan pencarian kerana ia dianggap leceh melainkan anggota THTC tersebut ditangkap polis, atau terlibat dalam jenayah. Netizen ini juga mendakwa perkara ini berlaku berikutan terlalu ramai anggota baru yang tidak hadir bekerja sebaik sahaja tidak masuk ke dalam unit.
Anggota yang diisyhtiharkan THTC juga tidak akan dapat menaiki pesawat kerana telah diklasifikasikan sebagai pelarian sementara dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Sekiranya genap 100 hari THTC, anggota tersebut tidak akan dikompromi dan akan dibuang dari perkhidmatan. Phew.

Daftar pesawat Lorenzo dilihat terakhir kali pada 5 Jun yang lalu

Walaupun terdapat maklumat penerbangan yang ditangkap layar oleh netizen, Vniez dimaklumkan bahawa suaminya ada meminta tambahan cuti daripada incas yang bertugas pada 7 Jun 2021 (2 hari selepas last seen Whatsapp nya) atas alasan penerbangannya ditunda. Hal ini menambahkan kekeliruan dan tanda tanya buat isterinya yang buntu mencari jejak suaminya itu.
Beritahu jiran di kem pulang Gawai tapi sebaliknya…
Netizen yang mendakwa dirinya jiran suami Vniez sewaktu berada di kem juga pernah menyaksikan lelaki itu bertungkus lumus mengangkut barang-barang dan mengemas rumah yang bakal didiaminya bersama isteri dan anak kelak. Sehari sebelum bercuti, lelaki tersebut juga sempat memberitahu jirannya itu bahawa beliau pulang bercuti untuk menyambut Gawai sekaligus membawa anak dan isterinya ke kem itu kelak.

Namun, jirannya terkejut apabila lelaki tersebut yang disangkanya tersangkut di kampung akibat PKP rupanya hilang sejak kali terakhir mereka bertemu.
Vniez juga sempat membalas komen tersebut dengan mengatakan bahawa mereka sepatutnya berpindah masuk ke kem itu pada bulan Jun yang lalu. Namun, suaminya tidak memberitahu bahawa dia mengambil cuti, tetapi sebaliknya memberitahu isterinya bahawa dia sedang menjalankan operasi.

Kehilangan lelaki tersebut sehingga kini masih menjadi misteri memandangkan tiada jejak lain yang ditemui. Difahamkan, ini merupakan jalan terakhir yang dilakukan oleh Vniez setelah semua usahanya sebelum ini termasuk menghubungi pihak kem menemui jalan buntu. Orang ramai yang mengetahui apa-apa maklumat berkenaan Lorenzo Landdu Anak Sylvester yang berasal dari Padawan ini diminta tampil menghubungi Vniez di talian 010-9596796 atau menghantar messenger ke Facebook Vniez Namuh.
Apa-apapun, doakan yang baik-baik buat keluarga ini. Semoga suami beliau segera ditemui dalam keadaan baik dan selamat.