Rumah kediaman beliau musnah dibom semasa Perang Saudara Syria
Kenali Yusra Mardini, Perenang Syria Mewakili Pasukan Pelarian Olimpik. Setiap empat tahun, setiap negara di seluruh dunia menghantar atlet terbaik mereka untuk bertanding di arena Olimpik. Semasa perarakan pembukaan, wakil negara-negara ini akan berarak, mewakili negara mereka dengan bangga dan mempamerkan asal usul serta budaya mereka. Tetapi bagaimana dengan mereka yang tidak memiliki rumah untuk diwakili akibat perang?
Bagi kumpulan atlet ini, mereka akan mewakili Pasukan Pelarian Olimpik, iaitu sebuah pasukan yang terdiri daripada atlet yang berasal dari 11 negara dan kini tinggal serta berlatih di 13 negara yang merupakan tuan rumah mereka. Mereka disokong oleh program Biasiswa Olimpik untuk Atlet Pelarian yang dikendalikan oleh International Olympic Committee (IOC).
Pasukan ini dibentuk dan diperkenalkan buat kali pertama di Sukan Olimpik 2016, dengan 19 atlet mewakili pasukan tersebut. Jumlah atlet yang mewakili pasukan terbabit kini bertambah menjadi 29 orang. Salah seorang daripada mereka ialah Yusra Mardini, seorang perenang yang berasal dari Syria dan kini menetap di Hamburg, Jerman, setelah melarikan diri dari negara asalnya akibat Perang Saudara Syria.
Berlatih di bawah Jawatankuasa Olimpik Syria
Yusra membesar di Darayya, Syria dan berlatih sebagai perenang dengan sokongan Jawatankuasa Olimpik Syria.
Beliau pernah mewakili negara asalnya di FINA World Swimming Championship pada tahun 2012 untuk acara 200 meter medley individu, 200 meter gaya bebas dan 400 meter acara gaya bebas.
Itu adalah kali terakhir beliau mewakili negaranya untuk temasya sukan antarabangsa.
Rumah dibom semasa Perang Saudara Syria
Beberapa tahun kemudian, rumah beliau musnah akibat dibom semasa Perang Saudara Syria. Yusra dan adik beradiknya, Sara, memutuskan untuk melarikan diri dari Syria pada bulan Ogos 2015.
Keputusan tersebut membawa mereka ke Lubna, dan kemudian Turki, di mana mereka diatur untuk diseludup ke Yunani menerusi sebuah kapal bersama 18 pelarian lain walaupun kapal tersebut hanya dapat memuatkan 6 atau 7 orang sahaja.
Semasa perjalanan, motor kapal tersebut berhenti berfungsi ketika di Laut Aegea dan air laut mula memasuki kapal itu. Yusra dan Sara, serta dua orang lain yang juga mahir berenang, memutuskan untuk masuk ke dalam air dan menampungkan diri mereka sambil menahan bot tersebut sehinggalah enjin bot terbabit kembali berfungsi. Mereka kemudian meneruskan perjalanan mereka hingga ke Lesbos.
Dari sana, mereka berjalan kaki, menggunakan bas dan diseludup melalui Eropah – menerusi 7 buah negara – ke Jerman, di mana mereka akhirnya menetap di Berlin pada bulan September 2015.
Ibu bapa dan adik perempuan Yusra, Shaed, juga berjaya melarikan diri dari Syria dan kini tinggal di Jerman.
Memulakan kehidupan baru di negara asing
Setibanya di Jerman, Yusra meneruskan latihan bersama jurulatihnya iaitu Sven Spannenkrebs dari Wasserfreunde Spandau 04 di Berlin. Kelab ini merupakan sebuah kelab renang terkenal di Jerman dengan pasukan polo air cemerlang mereka, memenangi beberapa piala untuk kejohanan-kejohanan sukan antarabangsa bagi acara polo air.
Dengan harapan untuk layak ke Olimpik, Yusra berusaha untuk memenuhi syarat dalam acara renang gaya bebas 200 meter dan beliau berjaya dipilih untuk menyertai 9 atlet lain untuk mewakili Pasukan Pelarian Olimpik untuk Sukan Olimpik 2016 yang diadakan di Rio.
Beliau merupakan antara atlet pertama yang memasuki pasukan baru itu, yang debut buat pertama kalinya di Olimpik Rio 2016.
Yusra bertanding dalam acara gaya bebas 100 meter serta rama-rama 100 meter.
Untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020, beliau dipilih untuk membawa bendera Pasukan Pelarian Olimpik semasa perarakan pembukaan dan bertanding untuk acara rama-rama 100 meter pada 24 Julai lalu. Beliau mencatatkan masa 1:06:78, menamatkan perlumbaan di kedudukan terakhir. Catatan masa ini menyebabkan beliau tidak dapat mara ke separuh akhir acara tersebut.
“Ini (catatan masa) bukan yang terbaik bagi saya tetapi saya rasa dengan keadaan semasa itu, ia OK, tetapi saya tidak gembira dengan prestasi saya. Saya memerlukan rehat dari latihan untuk memikirkan matlamat seterusnya. Tetapi saya rasa matlamat saya seterusnya adalah berenang di World Championships pada akhir tahun ini,”
– Yusra Mardini selepas acaranya.
Kisah beliau diceritakan dalam beberapa buku
Kisah Yusra telah diceritakan dalam koleksi cerpen Good Night Stories for Rebel Girls oleh Elena Favili dan Francesca Cavallo, dengan ilustrasi oleh JM Cooper. Beliau juga menerbitkan autobiografinya iaitu “Butterfly: From Refugee to Olympian – My Story of Rescue, Hope, and Triumph” dan kehidupannya serta perjalanan yang dilalui oleh Yusra dari dahulu sehingga sekarang kini dirancang untuk dijadikan filem oleh Stephen Daldry.
Sejak menetap di Jerman dan dedikasinya untuk meneruskan kejayaan olahragawatinya meskipun dari latar belakang yang tragis, Yusra telah dilantik sebagai Duta Goodwill termuda untuk UNHCR, Agensi Pelarian PBB pada bulan April 2017.
Mengenai berkongsi kisahnya kepada dunia, beliau berkata,
“Saya menceritakan kisah saya kerana saya mahu orang lain memahami bahawa sukan menyelamatkan nyawa saya. Saya selalu memberitahu orang bahawa pelarian ialah normal, kami normal. Kami tidak berasal dari negara yang miskin. Itu tidak benar. Kami tidak datang ke sini tanpa impian. Kami sudah mempunyai begitu banyak doktor, jurutera, perenang. Saya selalu cuba memberitahu orang itu adalah perkara biasa. Kami mempunyai semua yang anda ada. Saya juga ingin mengingatkan semua orang bahawa pelarian masih berada di kem, dan mereka benar-benar memerlukan bantuan kita.”
Kisahnya memang memberi inspirasi! Walaupun Yusra tidak menunjukkan prestasi yang baik untuk Olimpik tahun ini, beliau pasti akan kembali lebih kuat dari sebelumnya untuk Olimpik seterusnya. Semoga kisahnya terus memberi inspirasi kepada orang lain serta mendorong orang lain untuk sentiasa berusaha mengatasi cabaran yang dihadapi untuk mencapai impian masing-masing.