Hantaran Hospital Miri Ini Raih Perhatian Netizen
Hospital Miri Kongsi Kisah Pengikrar Penderma Organ Ini Raih Sebak Netizen. Jarang sekali kita lihat laman Facebook rasmi hospital jadi tumpuan netizen. Tapi kali ini, satu hantaran dari Hospital Miri benar-benar meruntun jiwa rakyat Malaysia. Ia bukan sekadar info kesihatan biasa, tapi kisah sebenar tentang pengorbanan, kasih sayang, dan harapan yang tak ternilai.
Dalam hantaran tersebut, Hospital Miri berkongsi tentang seorang lelaki berusia 43 tahun yang telah menghembuskan nafas terakhir — tetapi dalam pemergiannya, dia masih sempat “memberi kehidupan” kepada orang lain. Lelaki ini telah menjadi penderma organ, menyerahkan buah pinggangnya kepada pesakit yang sangat memerlukan. Hasratnya yang telah disimpan sejak 2014 akhirnya tertunai.

“Satu Nyawa, Berjuta Harapan”
Pembedahan ini bukan sahaja mencatat sejarah sebagai kes pendermaan organ pertama di Sarawak bagi tahun 2025, malah ia merupakan kes kelima di Hospital Miri — dan setiap satu menyimpan cerita yang menggetarkan hati.
Yang menjadikan kisah ini lebih menyentuh adalah keputusan penuh berani dari isteri mendiang, yang sanggup memberi keizinan untuk organ suaminya didermakan — satu keputusan yang bukan mudah, terutama dalam waktu berduka.
“Takziah, dan Terima Kasih Tak Terhingga”
Hospital Miri dalam hantarannya turut menyampaikan ucapan takziah serta penghargaan setinggi-tingginya kepada isteri dan keluarga mendiang. Menurut mereka, tindakan ini adalah lambang cinta yang mendalam dan keikhlasan luar biasa — demi memberi peluang kehidupan kepada insan lain.
Ramai netizen turut tersentuh, dengan komen-komen seperti:
Mulianya hati arwah mendiang menderma organ kpd org yg memerlukan. Beliau secara x langsung menyelamatkan nyawa org lain. May your soul rest in peace.“
Highest respect in human kind. Giving new lives to others. Salute and may your soul rest in peace…“
Pasukan Perubatan ‘All-Star’
Operasi pendermaan ini melibatkan pasukan pakar dari Hospital Umum Sarawak dan Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC), termasuk Dr Aaron Goh, Mr Kamal Raj, Dr Engku Emilia, SN Aliff Abdullah, serta dua jururawat urologi, Siti Zulaikha Md Sidek dan Liz Estevera Gabin. Dr Uma Devi dari Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH) dan pasukan Top Team Hospital Miri juga memainkan peranan penting menjayakan prosedur ini.

