Lukman Awaluddin berkongsi pengalaman dan minatnya terhadap overland dengan orang ramai.
Tular Individu Dari Sabah Ini Bakal Rentas 3 Negara Dalam Borneo Dalam 18 Hari. Kisah pengembaraan panjang melintasi tiga negara bukan sahaja mengagumkan, malah mampu menjadi inspirasi kepada ramai. Inilah yang dilakukan oleh Lukman Awaluddin, seorang peminat tegar “overlanding” dari Kota Kinabalu, Sabah. Bersama isterinya Siti Faznur Khaleq serta ibu bapanya, Lukman akan memulakan perjalanan epik sejauh 7,000 kilometer dari Sabah ke Ibu Kota Nusantara (IKN), Indonesia
Perjalanan epik ini merentas tiga negara – Malaysia, Brunei, dan Indonesia – dalam tempoh 18 hari. Pengembaraan ini bukan sahaja satu perjalanan fizikal, tetapi juga pengalaman pembelajaran dan penemuan budaya serta tradisi yang meluas di rantau ini.

Roadtrip seperti ini pernah saya buat pada 2018 dulu,guna kereta Proton Saga lama
Dalam hantaran Facebook yang meraih perhatian ramai, Lukman berkongsi tentang minat mendalamnya terhadap “overlanding” dan sejarah pengembaraannya yang terdahulu. Lukman, yang berusia 31 tahun, mula mengembara sejak awal 20-an, bermula dengan perjalanan solo menaiki Honda Wave 125 ke Thailand, sehinggalah ke Laos dengan Proton Saga lama pada tahun 2018. Kembara tersebut dinamakan #AdvanturaSaga, simbol kegigihan dan kecintaan Lukman terhadap eksplorasi, meskipun dengan keterbatasan kenderaan.
Kini, beliau memandu Ford Ranger yang telah diubah suai menjadi CamperTruck jenama BADAX, dibina khas untuk merentas Borneo. Perjalanan kali ini digelar #AdvanturaNusantara, di mana mereka akan merentasi Sarawak dan Brunei, serta menyusuri pelbagai wilayah di Indonesia, termasuk Singkawang, Pontianak, dan Balikpapan sebelum sampai ke destinasi akhir mereka di IKN.
Selain menikmati keindahan alam, tujuan perjalanan ini juga adalah untuk memahami potensi pembangunan di IKN yang sedang pesat dibangunkan oleh kerajaan Indonesia. Dengan semangat kembara bersama keluarga, Lukman berharap agar perjalanan ini dapat menjadi peluang untuk lebih mengenali budaya serantau dan mengeratkan hubungan bersama insan tersayang.
Lukman turut berkongsi perjalanan hidupnya yang penuh inspirasi, termasuk liku-liku dalam menguruskan bisnes perabot kecil yang dikenali sebagai Brutti. Sejak pandemik melanda pada 2020, beliau dan isterinya menjalankan perniagaan ini dari rumah sambil mengusahakan minat mereka dalam pembinaan campervan dan campertruck. Usaha keras mereka berbuah hasil, dan kini Lukman mampu memiliki sebuah van dan campertruck untuk meneruskan minat overland bersama keluarganya.
Dalam kembara kali ini, Lukman meninggalkan pasukan artisannya selama 18 hari, dan mengharapkan doa serta sokongan dari kenalan Facebook agar operasi bisnes tetap berjalan lancar sepanjang ketiadaannya.
Bagi Lukman, setiap perjalanan adalah peluang untuk belajar, menghargai kehidupan, dan mencipta kenangan bersama keluarga. Dengan penuh semangat, beliau dan keluarganya kini bersedia untuk mengharungi #AdvanturaNusantara.

