Tertekan dengan desakan kejayaan ahli keluarga, lelaki ini nekad untuk menyamar sebagai pembantu perubatan di Kuching.
Tertekan Dengan Keluarga, Individu Asal Serian Nekad Menyamar Sebagai Pembantu Perubatan Di HUS. Dalam prosiding di Mahkamah Majistret Kuching, Richard Layau Jolin, seorang lelaki berusia 25 tahun dari Serian, diperintah untuk berkelakuan baik (peace bond) selama enam bulan gara-gara menyamar sebagai pembantu perubatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).
Lelaki tersebut telah didakwa di bawah Seksyen 67 Kanun Prosedur Jenayah. Dalam sebutan kes tersebut, Richard telah mengaku bersalah atas tuduhan tersebut dan memberitahu bahawa tekanan daripada keluarga dan kelemahan diri menjadi pendorongnya untuk melakukan kesalahan tersebut.

Bagaimana kejadian ini terbongkar,
Kejadian ini terbongkar pada 28 Februari 2024, apabila seorang pembantu perubatan yang bertugas pada hari kejadian merasa curiga terhadap lelaki tersebut, yang ketika ditemui, memakai pakaian pembantu perubatan yang sudah agak lusuh.
Semasa disoal, lelaki tersebut memberikan jawapan yang agak samar tentang tugasnya, menyebabkan staf hospital berasa ragu. Bagi memastikan dengan lebih lanjut, staf hospital itu terus menyemak dengan segera dengan Jabatan Sumber Manusia di hospital berkenaan, yang akhirnya membawa kepada terbongkarnya penyamaran lelaki berkenaan.
Lelaki tersebut kemudiannya ditangkap di sebuah hotel berhampiran pada 3 Mac 2024, susulan aduan yang dibuat oleh pihak hospital dan kemudiannya beberapa kali ditahan semula oleh polis untuk tindakan lanjut.
Hasil siasatan lanjut, lelaki tersebut difahamkan telah membeli pakaian seragam secara dalam talian dengan harga RM80 dan membuat kad pekerja dengan harga RM5.
Beliau mengaku menyamar sebagai pembantu perubatan untuk memenuhi harapan keluarganya setelah lelaki berkenaan gagal menamatkan pelajarannya.
Bergelut dengan pengangguran dan dibayangi oleh kejayaan adik beradik lelakinya yang cemerlang, lelaki ini terpaksa menggunakan tipu helah tersebut sejak bulan Disember yang lalu dengan harapan untuk mendapatkan penghormatan daripada keluarganya.
Sewaktu penyamarannya, lelaki ini sering berlegar-legar di sekitar HUS, memberikan nasihat kepada pesakit tetapi tidak pernah mengakses ke kawasan terlarang. Lelaki yang tidak diwakili oleh peguam ini telah dihadapkan ke mahkamah oleh ASP Arman Ibrahim – The Borneo Post
