Tahukah anda bahawa terdapat 7 kategori OKU yang diiktiraf oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat?
Ini Adalah 7 Kategori OKU Untuk Kad Orang Kurang Upaya, Termasuk Kategori OKU Mental. Sekiranya anda terdengar ‘OKU’ (orang kurang upaya), anda mungkin akan menggambarkan individu yang mempunyai kekurangan fizikal dan/atau intelektual.
Tetapi tahukah anda bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat juga mengiktirafkan ketidakupayaan yang ‘tidak kelihatan’ seperti gangguan mental, masalah pembelajaran, dan masalah pertuturan?

Bukan hanya tertakluk kepada kurang upaya fizikal
Mengikut Akta Orang Kurang Upaya 2008, kekurangan upaya termasuk mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat .
Terdapat 3 objektif pendaftaran OKU, iaitu:
- Untuk mengetahui bilangan, taburan dan kategori OKU di Malaysia bagi maksud merancang program berkaitan dengan pencegahan, pendidikan, habilitasi, dan rehabilitasi, latihan serta perkhidmatan.
- Untuk merancang penyediaan kemudahan yang bersesuaian dengan keperluan OKU.
- Untuk membolehkan OKU yang berdaftar mendapat perkhidmatan yang bersesuaian menurut keperluan berdasarkan tahap kefungsian/ketidakupayaan mereka.
Syarat untuk mendaftar adalah seperti berikut:
- Warganegara yang bermastautin di Malaysia
- Disahkan/diperakui oleh Pegawai Perubatan Hospital Kerajaan / Pakar Psikiatri atau Pakar Perubatan Swasta

7 Kategori OKU yang diiktiraf
Jabatan Kebajikan Malaysia mengiktiraf 7 kategori OKU iaitu:
Kurang Upaya Pendengaran, di mana seseorang individu tidak dapat mendengar dengan jelas di kedua-dua telinga tanpa menggunakan alat bantuan pendengaran atau tidak dapat mendengar langsung walaupun dengan alat bantuan pendengaran. Kategori ini ada empat tahap yang boleh dikategorikan sebagai OKU Pendengaran iaitu:
- Minimum (15 – < 30 dB bagi Kanak-kanak), (20 – < 30 dB bagi Dewasa)
- Sederhana ( 30 – <60 dB)
- Teruk (60 – < 90 dB)
- Sangat teruk ( > 90 dB)
Kod untuk kategori ini ialah DE.

Kurang Upaya Penglihatan, di mana seseorang individu tidak dapat melihat atau mengalami penglihatan terhad di kedua-dua belah mata walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan seperti cermin mata atau kanta sentuh. Kategori ini ada dua tahap yang boleh dikategorikan sebagai OKU Penglihatan iaitu:
- Terhad – Penglihatan lebih teruk dari 6/18 tetapi sama dengan atau lebih baik daripada 3/60 walaupun dengan menggunakan alat bantuan penglihatan atau medan penglihatan kurang dari 20 darjah dari fixation
- Buta – Penglihatan kurang daripada 3/60 atau medan penglihatan kurang dari 10 darjah dari fixation
Kod untuk kategori ini ialah BL.

Kurang Upaya Fizikal, di mana seseorang individu mempunyai ketidakupayaan anggota badan. Ini sama ada kehilangan atau tiada suatu anggota atau ketidakupayaan di mana-mana bahagian badan yang mengalami keadaan. Contohnya, hemiplegia, paraplegia, tetraplegia, kehilangan anggota, kelemahan otot-otot, di mana kesemua penyakit ini mengakibatkan mereka tidak dapat melakukan aktiviti asas seperti penjagaan diri, pergerakan dan pertukaran posisi tubuh badan.
Keadaan ini boleh terjadi akibat daripada kecederaan, atau ketidakfungsian sistem saraf, kardiovaskular, respiratori, hematologi, imunologi, urologi, hepatobiliari, muskuloskeletal, ginekologi dan sebagainya.
Antara contoh ketidakupayaan fizikal adalah Cerebral Palsy, Kerdil (<142cm bagi lelaki, <138cm bagi wanita), dan stroke.
Kod untuk kategori ini ialah PH.

Kurang Upaya Pertuturan, di mana seseorang individu tidak boleh bertutur sehingga menyebabkan gangguan berkomunikasi dengan sempuran dan tidak boleh difahami oleh mereka yang berinteraksi dengannya. Keadaan ini adalah kekal atau tidak akan sembuh.
Bagi kanak-kanak mestilah berdasarkan penilaian pada umur 5 tahun ke atas. Sekiranya ada keraguan, Pakar Otorinolaringologi mesti dirujuk.
Kod untuk kategori ini ialah SD.
Kurang Upaya Pembelajaran, di mana seseorang individu mempunyai masalah kecerdasan otak yang tidak selaras dengan usia biologikal. Mereka yang mempunyai ketidakupayaan ini tergolong dalam kategori lewat perkembangan global dan kurang upaya intelektual.
Ketidakupayaan ini termasuk Sindrom Down, ADHD, Disleksia, Autisme dan sebagainya.
Kod untuk kategori ini ialah LD.

Kurang Upaya Mental, di mana keadaan penyakit mental yang teruk sedang dirawat atau individu yang menghidap penyakit ini telah diberi diagnosis selama sekurang-kurangnya 2 tahun oleh Pakar Psikiatri.
Mereka yang mengalami ketidakupayaan ini tidak berupaya untuk berfungsi sama ada sebahagian atau sepenuhnya dalam hal berkaitan dirinya atau perhubungan dalam masyarakat.
Antara jenis-jenis penyakit mental ialah schizophrenia, paranoia, mood disorder (depression, bipolar), Organic Mental Disorder yang serius dan kronik serta Psychotic Disorder seperti Schizoaffective Disorder dan Persistent Delusional Disorder.
Kod untuk kategori ini ialah ME.

Kurang Upaya Pelbagai, di mana seseorang individu mengalami lebih daripada satu jenis ketidakupayaan. Oleh itu, mereka tidak dikategorikan dalam satu jenis kategori OKU akibat tidak tergolong dalam antara 1 daripada 6 kategori OKU.
Kod untuk kategori ini ialah MD.

Ketidakupayaan yang tidak dapat dilihat juga dianggap ketidakupayaan
Sekiranya anda terjumpa dengan seseorang yang diiktiraf OKU tetapi ketidakupayaan tersebut ‘tidak dapat dilihat’, harap bersabar dengan mereka terutamanya apabila mereka dikehendaki untuk melakukan sesuatu.
Bagi kita, ia adalah perkara yang mudah tetapi akibat ketidakupayaan mereka, mereka mengalami kesukaran untuk melakukannya. Semoga anda bersabar dan memahami keadaan mereka sebelum memutuskan untuk menilai atau memarahi mereka.