Terokai 4 pulau dalam masa satu hari di Kota Jakarta!
Island Hopping Tengah Kota, Terokai 4 Pulau Menakjubkan Dalam Masa 1 Hari Di Jakarta. Siapa sangka, di tengah-tengah kesibukan dan hiruk-pikuk bandar raya Jakarta, terdapat keindahan alam yang memukau! Di sebalik kesibukan di bandar raya ini, Jakarta menyimpan sebuah rahsia yang jarang diketahui ramai di mana para pengunjung boleh menikmati pengalaman island hopping.
Tahukah korang, pulau-pulau yang terletak berhampiran Jakarta, dikenali sebagai Kepulauan Seribu, merupakan syurga tersembunyi yang memberikan orang ramai peluang untuk melarikan diri dari kesibukan bandar. Di sini, para pengunjung boleh menikmati lautan biru yang tenang, pantai yang putih bersih, dan dalam masa yang sama boleh belajar mengenai sejarah di sini.
Diberi peluang untuk mengikuti Famtrip West Java-Jakarta baru-baru ini, kami berpeluang untuk mengikuti aktiviti menarik iaitu hopping pulau ke pulau di Jakarta! Pulau yang kami dikunjungi adalah Pulau Kelor, Pulau Onrust, Pulau Cipir, dan Pulau Asha.
1. Pulau Kelor
Pulau Kelor adalah destinasi pertama yang kami lawati. Pulau kecil ini mempunyai pantai serta air laut yang tenang menjadikannya tempat bersantai. Di pulau ini, daya tarikan utama adalah peninggalan sejarahnya di mana Pulau Kelor ini dahulunya adalah digunakan sebagai makam tawanan Belanda.
Untuk pengetahuan, pada mulanya, pulau ini diberi nama Pulau Keurkof, yang dalam bahasa Belanda bermaksud pulau kubur.
2. Pulau Onrust
Setelah menikmati keindahan serta mengetahui sejarah mengenai Pulau Kelor, kami meneruskan perjalanan ke Pulau Onrust. Pulau ini juga kaya dengan sejarah, di mana ia pernah menjadi tempat persinggahan kapal-kapal Belanda pada zaman penjajahan.
Di Pulau Onrust, anda boleh melihat runtuhan bangunan lama, termasuk sebuah hospital dan penjara yang kini menjadi muzium terbuka.
3. Pulau Cipir
Pulau ketiga untuk Island Hopping ini adalah Pulau Cipir, yang terletak berhampiran dengan Pulau Onrust. Di sini, ia menawarkan pengalaman yang serupa tetapi dengan suasana yang lebih tenang.
Pulau ini mempunyai pantai yang indah dan suasana yang damai, menjadikannya tempat yang ideal untuk berehat dan menikmati pemandangan laut. Korang juga boleh menjelajahi runtuhan-runtuhan bangunan yang terdapat di pulau ini, yang memberikan gambaran sejarah pada zaman dahulu.
4. Pulau Asha
Pulau Asha adalah destinasi terakhir dalam Island Hopping di Jakarta kali ini. Merupakan hidden gem, pulau ini kurang diketahui ramai, tetapi menawarkan pengalaman yang unik dengan pantai yang cantik dan air laut yang jernih.
Pulau Asha adalah tempat yang sempurna untuk bersantai dan menikmati keindahan alam semula jadi, jauh dari kesibukan bandar. Di sini, pelbagai aktiviti boleh dilakukan termasuk Snorkeling, Diving, Horse Riding, Banana Boat, Canoeing, Paddle Boat dan banyak lagi.
Selain daripada aktiviti berkenaan, destinasi terakhir ini mempunyai restoran yang menghidangkan makanan buffet serta muzik dari band yang akan menemani para pengunjung yang berada di sini.
Island hopping di Jakarta adalah pengalaman yang benar-benar unik. Bayangkan, dalam masa hanya beberapa jam dari pusat bandar, korang boleh melarikan diri ke pulau-pulau yang menawarkan ketenangan dan keindahan alam.
Aktiviti ini juga bukan sahaja memberikan peluang untuk berehat dan menikmati keindahan alam, tetapi juga untuk memahami lebih dalam tentang sejarah Jakarta dan Indonesia. Setiap pulau mempunyai cerita yang tersendiri, dan setiap lawatan akan membawa korang lebih dekat dengan sejarah dan budaya yang membentuk negara ini.