Serious buat kami nak repeat lagi trip ni weh!
Jawa Barat dan Jakarta, dua destinasi yang menawarkan pengalaman percutian yang unik dan menarik di Indonesia. Dengan gabungan keindahan alam, warisan budaya, dan kemodenan bandar, kawasan ini menjadi pilihan ideal untuk pelancong yang ingin merasai kepelbagaian Indonesia dalam masa yang singkat.
Bayangkan diri anda meneroka sawah padi berteres yang memukau di Ciboer Pass, mendalami seni membatik di Cirebon, berendam dalam kolam air panas semula jadi di Garut, bahkan boleh buat Island Hopping di Jakarta!

Dekat Jawa Barat ni ada apa je? Nahh, tengok itinerari kami di bawah
Tempat-tempat menanti untuk memukau anda dengan keindahan alam semula jadinya, warisan budaya yang kaya, serta keenakan masakan tempatan yang pasti buat anda mindblown!
Baru-baru ini, pihak AirAsia bersama-sama dengan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur telah mengundang ILOVEBORNEO & ILOVEKUCHING untuk menyertai satu lawatan khas. Jemputan ini bertujuan untuk memberi peluang kepada kami meneroka dan menghayati keindahan pelbagai lokasi menarik di Jawa Barat dan Jakarta. Perjalanan ini merupakan satu peluang istimewa untuk kami mendalami pesona dan daya tarikan dua wilayah terkenal di Indonesia ini.
Inilah Jawa Barat – Jakarta sebuah destinasi yang menjanjikan pengalaman autentik Indonesia yang mungkin belum pernah anda rasai sebelum ini. Baca itinerari 3 hari di Jawa Barat dan 3 hari di Jakarta di bawah:

Hari 1: Menyingkap Keindahan di Jawa Barat✨
Sebaik sahaja kami mendarat di Majalengka Kertajati, kami ke Ciboer Pass untuk santapan tengahari di D’Garden Ciboer. Menariknya di sini, pengunjung boleh menikmati hidangan Sunda sambil nikmati pemandangan hijau sawah padi berteres dan udara segar.
Di sini, mereka juga menawarkan aktiviti berbasikal dan menunggang motosikal untuk menikmati lanskap hijau sawah padi di sini. Memang syokk!
Setelah itu, kami ikut serta bengkel mencanting batik di BT Batik Trusmi: Trusmi adalah kawasan terkenal dengan industri batiknya di Cirebon. BT Batik Trusmi mungkin adalah pusat batik tempatan di mana anda boleh menyertai bengkel untuk mempelajari proses pembuatan batik tradisional Indonesia. Tidak hanya itu, mereka juga menjual barangan dan hasil kraf tangan batik sebagai ole-ole.

Setelah seharian meneroka, kami ke Empal Gentong di H. Apud, hidangan daging lembu yang menjadi kebanggaan tempatan. Kami memesan Empal Gentong, Sate Kambing dan Tauhu Gejrot. Memang tidak dinafikan lagi, rasa Sate Kambing yang empuk dengan kombinasi kuah kacang dan kicap di sini memang membuatkan kami ketagih. Nahh, sampaikan kami memesan 3 pinggan Sate Kambing yaa! Kelazatan masakan di sini menjadi penutup sempurna untuk hari yang penuh pengalaman.
Sebagai penutup untuk hari pertama, kami bermalam di Aston Cirebon Hotel & Convention Center. Tempat ini mengambil masa 55 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati (KJT).
Hari 2: Garut Regency
Hari kedua perjalanan membawa kami ke Garut Regency, hidden gem di Jawa Barat. Selepas sarapan dan daftar keluar dari hotel di Cirebon, perjalanan diteruskan ke destinasi baharu ini.
Ketibaan di Garut disambut dengan makan tengahari di Leuwi Asri Kopi and Resto Indonesia. Petang pula diisi dengan bengkel pembuatan kulit di Astiga Leather. Di sini, kami berpeluang menyaksikan dan mencuba sendiri seni pembuatan produk kulit.

Setelah itu, kami berpeluang untuk membeli cenderahati dan produk tempatan di Khasna Sentra Oleh-Oleh. Tempat ini menawarkan pelbagai pilihan barangan kraf tangan dan makanan khas Garut untuk dibawa pulang sebagai kenangan.
Pengalaman kulinari hari kedua di Jawa Barat, kami diakhiri dengan mencuba “Baso Aci”, hidangan tradisional Garut. Bakso unik ini, dibuat daripada tepung kanji, memberi kelainan rasa yang menarik.
Hari yang menarik ini ditutup dengan penginapan di Villa Sumber Alam Garden of Water. Setelah menikmati hidangan makan malam di restoran villa, kami berkesempatan untuk mencuba bengkel seni yang menarik, iaitu menghias Payung Geulis.

Selain berehat, kami dapat menikmati aktiviti berendam di kolam air panas semula jadi dari Gunung Guntur, menenangkan badan dan minda selepas hari yang sibuk menjelajah.
Garut membuktikan dirinya sebagai destinasi yang menawarkan campuran sempurna antara budaya, kraf tangan, gastronomi, dan keindahan alam semula jadi, menjadikan hari kedua perjalanan ini satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Hari 3: Menyingkap lebih lanjut pesona Garut dan Bandung
Hari ketiga di Garut membuka tirai dengan aktiviti pagi yang menyegarkan di sekitar Villa Sumber Alam. Kami menikmati suasana alam semula jadi, dengan berjalan-jalan di taman yang sangat memukau di pagi hari.
Pengalaman kulinari Garut dilengkapkan dengan mencuba dodol Garut, snek tradisional yang telah menjadi ikon daerah ini. Manisan kenyal yang dibuat daripada tepung beras ketan, gula kelapa, dan santan ini pasti mengujakan deria rasa dengan tekstur dan rasanya yang unik.
Selepas pengalaman kulinari yang menarik, perjalanan diteruskan ke Stesen Garut untuk menaiki kereta api panoramik ke Bandung. Perjalanan dua jam setengah ini menawarkan pemandangan indah lanskap Jawa Barat.
Setiba di Bandung, destinasi pertama adalah Eiger Store, di mana pelancong dapat membeli-belah dan menikmati lawatan kedai yang menarik. Seterusnya, perjalanan diteruskan ke Braga City Walk untuk meneroka bandar ini dengan lebih mendalam.

Kami sempat bersiar-siar di bandar Braga memberi peluang untuk menyelami sejarah dan budaya Bandung. Hari yang menarik ini diakhiri dengan makan malam perpisahan di Braga City Walk, memberi peluang untuk mengimbau kembali pengalaman sepanjang hari.
Akhirnya, kami ditempatkan di Hotel Savoy Homann untuk berehat, mengakhiri hari yang penuh dengan penerokaan budaya, kulinari, dan pemandangan indah Jawa Barat.
Hari 4: Menjelajah Keindahan Kota Jakarta
Hari keempat perjalanan kami dimulai dengan perpisahan dari kota Bandung. Selepas sarapan pagi dan check-out dari hotel, kami memulakan perjalanan ke Jakarta dengan menaiki kereta api laju Whoosh dari Stesen Padalarang. Pemandangan indah sepanjang perjalanan menjadi kenangan terakhir kami tentang Bandung.
Setibanya di Jakarta, kami disambut oleh kehidupan bandar yang sibuk. Sistem pengangkutan Whoosh yang moden membawa kami ke pusat bandar dengan pantas dengan hanya mengambil masa sekitar 30 minit. Perjalanan kami diteruskan ke Saharjo, Tebet, di mana kami menikmati hidangan tengah hari yang lazat di restoran PagiSore yang terkenal. Masakan Padang dan Sumatera yang autentik benar-benar memanjakan selera kami.

Petang itu diisi dengan aktiviti membeli-belah di dua pusat beli-belah ikonik Jakarta – Sarinah dan Pasar Santa Moden. Sarinah, bukan sahaja terkenal dengan pusat beli belah, di sini juga terdapat satu hiddden spot di mana kami boleh lihat matahari terbenam dengan pemandangan luas kota Jakarta. Manakala di Pasar Santa Moden, terdapat pelbagai barangan vintaj dari aksesori, buku hingga ke piring hitam. Memang rambang mata dibuatnya!

Senja menjelang ketika kami tiba di Monas, lambang kebanggaan nasional Indonesia. Kami menaiki menara ini, menikmati pemandangan menakjubkan kota Jakarta dari atas sambil menyelami sejarah negara ini. Hari yang memenatkan namun memuaskan itu diakhiri dengan hidangan nasi goreng kambing yang lazat di BonSir Kebon Sirih, sebelum kami kembali ke hotel untuk berehat.
Hari 5: Island Hopping di Jakarta
Keesokan harinya membawa kami ke tempat yang kami tak tahu akan kewujudannya – menjelajah Kepulauan Seribu. Bermula dari Marina Ancol, kami memulakan perjalanan island hopping ke Kelor, Pulau Onrust dan ke Pulau Cipir dan kembali ke Kelor. Setiap pulau mempersembahkan keunikannya tersendiri – dari benteng Belanda purba di Kelor hingga bangunan peninggalan sejarah di Cipir.

Pengalaman kami diteruskan di Asha Resort yang mewah, di mana kami disambut dengan minuman khas dan pemandangan lautan biru yang memukau. Hidangan tengah hari yang lazat diikuti dengan aktiviti pantai yang menyeronokkan – berenang, canoeing, paddle boat dan berjemur di bawah sinar mentari tropika.

Petang itu, kami kembali ke daratan utama dan menghabiskan masa di pantai Pasir Putih Ancol yang indah, menikmati pemandangan matahari terbenam yang memukau. Hari yang penuh kenangan ini diakhiri dengan makan malam di Restoran Bandar Djakarta, di mana kami menikmati hidangan seafood yang segar sambil diiringi dengan alunan muzik dan angin yang lembut.
Hari 6: Kota Jakarta Bikin Candu🫶🏻
Setelah 2 hari berada di Jakarta, kami semakin terpesona dengan keunikan dan pesonanya. Hari terakhir kami di Jakarta, kami mulakan dengan mengunjungi Bundaran HI Sky Deck, sebuah lokasi yang memberikan pemandangan yang menakjubkan.
Dari atas sana, Monumen Selamat Datang yang ikonik jelas kelihatan, berdiri megah di tengah-tengah kesibukan bandar.

Seterusnya, kami menuju ke Kota Tua Jakarta, sebuah kawasan bersejarah yang penuh dengan nostalgia. Makan tengah hari kami nikmati di Café Batavia, sebuah restoran klasik dengan suasana yang tenang. Memang love 🫶🏻 untuk dijadikan tempat spend time dengan kawan-kawan.
Selesai makan, kami berjalan-jalan di sekitar Kota Tua menaiki buggy, membolehkan kami melihat bangunan-bangunan lama yang penuh sejarah dengan lebih dekat. Perjalanan kami diteruskan ke Jambatan Kota Intan, jambatan tertua di Jakarta yang masih kekal kukuh hingga kini.

Kami juga berpeluang mencuba jamu di Acaraki (The Art of Jamu), sebuah kafe yang menghidangkan pelbagai jenis minuman tradisional Indonesia. Di sini, kami memilih untuk mencuba jamu yang menggunakan bahan-bahan seperti beras kencur, kunyit asam, halia, dan temulawak. Rasa jamu ini sungguh unik, memberikan tenaga dan kesegaran.
Menjelang petang, kami bergerak ke Pantai Indah Kapuk (PIK) By The Sea, sebuah kawasan yang memperlihatkan gabungan moden dan estetik. Di sini, semua kedai menjual barangan jenama lokal dengan gaya yang tampak mewah dan eksklusif. Suasananya sangat santai dan menjadi tumpuanndi kalangan anak-anak muda.
Kami mengakhiri hari yang penuh dengan pelbagai pengalaman menarik ini dengan makan malam di Beach Road, Scissor Cut Curry Rice. Kami mencuba hidangan ikonik Nasi Kari Hainan dari Singapura yang menjadi kegemaran lokal di sini. Kari di sini mempunyai keseimbangan antara rasa pedas, manis, dan berkrim.

Keunikan budaya Sunda di Jawa Barat juga memberikan pengalaman yang tidak terlupakan, dengan makanan tradisional yang lazat dan keramahan penduduk tempatan. Sementara itu, Jakarta mempersembahkan wajah moden Indonesia dengan bangunan pencakar langit, pusat membeli-belah barangan jenama tempatan, dan tempat-tempat bersejarah yang menarik.
Sebagai penutup perjalanan yang menakjubkan ini, kami ingin merakamkan penghargaan kepada AirAsia atas perkhidmatan mereka dan Tourism Indonesia atas sokongan yang tidak ternilai. Berkat usaha mereka, kami berkesempatan untuk menjelajahi dan benar-benar memahami kekayaan budaya negara yang mengagumkan ini.
Perjalanan ini telah meninggalkan kesan yang mendalam dan penghargaan terhadap Indonesia yang sukar dilupakan. Kami berharap dapat kembali ke negara yang menakjubkan ini pada masa hadapan untuk meneroka lebih banyak keajaiban yang ditawarkannya. Will see you again, Indonesia!