Wajarkah pemegang ijazah bukan pendidikan dipinggir 100%?
Isu Pengambilan Guru 18K : Adakah Ijazah Bukan Pendidikan Tidak Layak Menjadi Cikgu? Isu kekurangan guru bukanlah sesuatu yang baharu di negara ini. Alasan Kementerian Pendidikan Malaysia membuka perjawatan ini adalah untuk menutup jurang kekurangan guru di Malaysia dan menampung kekurangan graduan dari Institut Pendidikan Guru. Oleh yang demikian, pada 19 Jun yang lalu, KPM mengumumkan akan membuka pengambilan guru secara one-off dengan jumlah kekosongan sebanyak 18,702.
Namun, isu ini didebatkan oleh pihak tertentu yang mendesak kerajaan untuk mengutamakan graduan pendidikan mengisi 18,702 perjawatan ini. Ini pendapat peribadi penulis.

Isu ini sangat dekat dengan penulis memandangkan penulis juga merupakan seorang bekas guru di sebuah sekolah menengah kebangsaan dan berasaldari keluarga guru. Ayah, ibu saudara, bapa saudara, semuanya guru. Memang, tugas guru ini tidak mudah. Pernah sekali penulis meninggalkan kelas begitu sahaja kerana pelajar langsung tidak hormat dan mendengar arahan. Namun, kemudian penulis ditegur oleh seorang guru lain dan beliau memberikan nasihat bagaimana untuk mengendalikan pelajar. Sejak itu, penulis tidak lagi meninggalkan kelas sehingga tamat perkhidmatan di sekolah tersebut.
Ada graduan pendidikan yang tidak fasih Bahasa Inggeris? Gagal mendefinisikan terma pengkhususan dengan betul?
Menurut sumber terdekat penulis, semasa proses pengambilan jawatan guru ganti dalam program MyStep di sebuah daerah baru-baru ini, penulis sangat terkejut apabila rupanya masih terdapat calon-calon yang sememangnya mempunyai ikhtisas pendidikan yang meminta panel penemuduga untuk menukar bahasa pertuturan dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu kerana mereka tidak fasih untuk menjawab pertanyaan daripada panel penemu duga. Alasan panel adalah untuk menguji kemahiran berbahasa Inggeris para calon kerana kemahiran bahasa ini (di samping Bahasa Malaysia) adalah penting untuk mengajar di sekolah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
Malah, ada juga calon ikhtisas pendidikan yang gagal untuk memahami terma pengkhususan sendiri semasa sesi temu duga. Ini adalah sesuatu yang memalukan untuk pelajar ijazah pendidikan. Sehingga ke tahap ini, adakah graduan ini sebenarnya benar-benar mempunyai niat untuk mengajar atau sekadar mengharapkan panggilan temu duga SPP, dapat penempatan atas tiket memiliki ikhtisas pendidikan, kemudian mengajar sekadar melepaskan batuk di tangga?
Lalu, apalah bezanya dengan graduan bukan pendidikan yang tidak memasang niat yang betul untuk menjadi guru?
Sementara guru yang tidak memiliki ijazah bukan pendidikan pula, tidak semudah itu perjalanan buat mereka setelah mendapat penempatan. Mereka sentiasa dipantau, meneruskan pengajian di peringkat diploma pendidikan selama 2 tahun (sambil bekerja sebagai guru), dan sentiasa menerima kritikan serta ulasan tentang kualiti pengajaran mereka. Silap hari bulan, jika markah penilaian rendah, mereka berisiko untuk ditamatkan tempoh perkhidmatan. Oleh sebab itulah, hanya graduan bukan pendidikan yang benar-benar layak dan kental sahaja sesuai untuk menyandang jawatan ini selain graduan pendidikan sebenar.

Nak ambil juga graduan bukan pendidikan? Bukan semudah itu.
Dalam hal ini, penulis berpendapat bahawa graduan bukan pendidikan juga layak, tetapi untuk mendapatkan guru yang benar-benar berkualiti, sistem tapisan di peringkat awal hendaklah dibuat dengan lebih ketat seperti mana sistem tapisan JPA untuk calon PTD. Ujian psikometrik dan personaliti, ujian ketahanan mental, temuduga berkumpulan, adalah antara cadangan tapisan awal untuk mencari calon bukan pendidikan yang benar-benar layak, setaraf dengan graduan pendidikan. Sebelum ditempatkan ke sekolah sebenar pula, mereka perlu menjalani latihan pra pengajaran di maktab perguruan selama beberapa bulan. Sekurang-kurangnya untuk melengkapkan diri dengan sedikit ilmu pedagogi asas yang kemudian akan diterokai dan diasah sepanjang mengajar di sekolah.
Nak jadi polis, PTD pun ada latihan beberapa bulan. Takkan pula para guru yang akan berhadapan dengan 1001 macam perangai manusia, dari pelajar sehingga ke ibu bapa, tiada langsung persediaan, bukan?
Bukankah ini lebih adil buat kedua-dua pihak? Graduan pendidikan yang telah berhempas pulas selama 4 tahun terus diberikan penempatan, manakala graduan bukan pendidikan pula perlulah melepasi syarat kelayakan yang ketat bagi melayakkan mereka menjadi guru.

Jangan menggelupur
Utamakan graduan pendidikan dalam pengambilan? Ya, silakan. Sesungguhnya anda jauh lebih layak berbekalkan sijil ikhtisas yang anda perjuangkan selama 4 tahun di kampus dan setelah melalui berpuluh kali praktikum di sekolah.
Tambahan pula, dalam mana-mana pengambilan guru sebelum ini sekalipun, graduan pendidikan akan tetap diberikan keutamaan untuk mengisi perjawatan ini. Dalam sistem saringan automatik dalam pangkalan data sekalipun, jika anda tidak padan dengan ijazah pendidikan bidang keperluan, akan tetap ditolak. Jadi, kenapa perlu menggelupur?
18,702 kekosongan adalah satu jumlah yang sangat besar. Jadi, graduan pendidikan, kemas kinilah permohonan anda dan jangan sia-siakan kesempatan ini.
Niat itu penting
Niat itu yang paling utama. Tidak kisahlah sama ada anda graduan pendidikan atau bukan pendidikan, jika anda berniat untuk menjadi guru kerana ingin menjadi penjawat awam kerajaan, ingin menikmati gaji besar dengan elaun tambahan, ingin mendapatkan kemudahan pinjaman dengan mudah, mahupun sekadar berniat hanya ingin segera mendapat kerja dan segala macam bulan dan bintang, usahlah kalian bertenggek di laman sesawang permohonan dan membazirkan kuota graduan yang benar-benar mahu menggalas tugas berat ini.
Oh ya, jika anda jenis orang yang tidak tahan untuk berjauhan dari keluarga dan berpotensi untuk mengisi egTukar setiap tahun walaupun masih berstatus bujang, sila abaikan iklan perjawatan ini.
Mengajar ini adalah satu seni. Seni mengajar namanya. Seni hanya dapat diasah seiring masa dan pengalaman. Waktu dan kerenah pelajar pun akan sentiasa berubah. Pernah tengok 3 Idiot? Shamaldas Chanchad tiada ikhtisas pendidikan, tetapi seni pengajaran dan kreativiti psikologinya yang menjadikan pelajar mereka berkembang dan menjadi manusia.

Graduan pendidikan atau bukan pendidikan, jika benar mahu menjadi guru, mengajar anak orang asli dan anak tiada kewarganegaraan di pondok usang pun menjadi satu kepuasan walaupun tidak berbayar.
***Penafian : Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan I Love Borneo secara keseluruhan.