Penduduk Tuaran kecewa dengan pembinaan bahan didakwa tak berkualiti
Jambatan Tuaran RM18 Juta Bengkok, Netizen Persoal Kualiti Binaan. Sabah sekali lagi menjadi perhatian netizen apabila sebuah jambatan di Tuaran didapati sudah bengkok walaupun baru beberapa tahun siap dibina.
Jambatan yang menghubungkan Sungai Damit dengan Pekan Tuaran ini sepatutnya menjadi laluan utama penduduk setempat, tetapi kini menimbulkan kebimbangan kerana keadaannya yang semakin membahayakan.

Lebih mengejutkan, jambatan ini dibina dengan kos RM18 juta, tetapi kualitinya menimbulkan tanda tanya besar.
Dalam satu perkongsian di TikTok oleh pengguna @zid.aliasgar, dia sendiri turun padang untuk mengukur besi kekuli I-Beam yang digunakan dalam pembinaan jambatan tersebut. Hasil dapatan yang diperoleh amat membimbangkan kerana spesifikasi bahan binaan tidak menepati piawaian yang sepatutnya.
Jambatan Bengkok Sebelum Digunakan Secara Maksimum
Menurut @zid.aliasgar, beliau mendapati besi I-Beam yang digunakan pada jambatan tersebut mempunyai ketebalan hanya 1 inci 6 hun, tinggi 2.5 kaki, dan lebar 1 kaki 8 inci. Apabila dibandingkan dengan jambatan lain, jelas kelihatan bahawa spesifikasi besi ini tidak mencukupi untuk menampung beban yang diperlukan.
“Memang teruk kerana jambatan ini bengkok di atas beratnya sendiri, belum lagi ada kenderaan berat yang melaluinya. Sebelum digunakan sepenuhnya pun dah bengkok, apatah lagi dalam jangka masa panjang,” katanya, menurut laporan media tempatan.
Namun, berdasarkan rekod, masalah ini bukan disebabkan oleh rekaan jambatan tersebut, tetapi lebih kepada pematuhan spesifikasi dan kualiti bahan yang digunakan. Ini menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan pengguna yang bergantung kepada jambatan ini untuk perjalanan harian mereka.
Pernah Tular Pada 2023, Tapi Masih Tiada Penyelesaian
Ini bukan kali pertama jambatan ini menjadi isu. Pada tahun 2023, ia pernah tular dan timbul cadangan untuk merobohkannya serta membina semula jambatan baharu. Namun, sehingga hari ini, masih tiada perkembangan lanjut mengenai tindakan yang akan diambil.
Susulan kontroversi ini, isu jambatan bengkok ini akhirnya dibawa ke sesi kamar khas di Dewan Rakyat. Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib, memaklumkan bahawa satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi menyelesaikan masalah ini.
“Jawatankuasa Task Force Damit menyarankan supaya jambatan baru dibina di lokasi yang sama setelah jambatan sedia ada dirobohkan. Ini berdasarkan justifikasi value for money, ketahanan struktur, serta keselamatan pengguna,” jelasnya.
Rakyat Mahu Penyelesaian, Bukan Janji Kosong
Rakyat Sabah, khususnya penduduk Tuaran, pastinya mengharapkan tindakan segera daripada pihak berwajib. Dengan kos sebanyak RM18 juta, sepatutnya jambatan ini mampu bertahan lebih lama, bukan bengkok sebelum ia digunakan secara maksimum.
Jika tiada tindakan tegas diambil, apakah nasib infrastruktur lain yang mungkin mengalami masalah serupa? Adakah isu ini akan berlalu begitu sahaja tanpa ada pihak yang dipertanggungjawabkan?
Apa pendapat anda? Adakah pihak berwajib akan mengambil tindakan segera atau sekadar memberi janji manis seperti sebelum ini? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen.

