Berita Gembira Buat Penggemar Jeruk Pak Ali Di KK!
Jeruk Ikonik Pulau Pinang, Jeruk Pak Ali Bakal Dibuka Di Kota Kinabalu. Jika anda berkunjung ke Pulau Pinang, Jeruk Pak Ali merupakan salah satu ole-ole yang wajib dibawa balik. Jeruk yang sangat ikonik ini mengandungi pelbagai pilihan buah-buahan termasuklah buah-buahan yang jarang didapati di tempat lain.
Kini, cawangan Jeruk Pak Ali bakal dibuka di Malaysia Timur iaitu di Kota Kinabalu, Sabah. Cawangan ini terletak di Wawasan Plaza.
Menurut laman FB rasmi Jeruk Pak Ali cawangan Kota Kinabalu, Sabah, kedai ini masih dalam proses renovasi dan bakal dibuka sekitar pertengahan atau hujung bulan Februari. Tak sabarnya!
Jom lihat bagaimana rupa cawangan Jeruk Pak Ali di Sabah ini. Mungkin suasananya boleh dijadikan sebagai landmark untuk anda mencari lokasi kedai ini di KK.
Rupanya Dah Ada Di Sandakan, Buka Dua Outlet Pula Tu!
Untuk pengetahuan anda, Jeruk Madu Pak Ali ini sudah berada di Sabah dengan cawangan pertamanya dibuka di Sandakan. Jika anda berada di Sandakan dan sekitarnya, anda boleh mendapatkan jeruk ini di Mydin Sejati Ujana dan Foodcourt Tingkat 4 Habourmall, Sandakan.
Jeruk Pak Ali ini digemari ramai kerana rasanya yang asli. Selain itu, jeruk ini juga menggunakan ramuan semulajadi seperti gula pasir, cuka epal, madu serta air yang ditapis. Paling istimewa, air jeruknya juga boleh diminum sebagai jus dan tidak menyebabkan batuk. Antara pilihan buah-buahan jeruk yang laris adalah seperti jeruk campur, kedondong hijau, buah pala, halwa betik, salak, mangga, rebung, cermai, jambu batu dan banyak lagi.
Untuk maklumat lanjut tentang tarikh pembukaan cawangan ini, anda boleh layari laman FB Jeruk Madu Pak Ali KK Sabah.
Dah tak perlulah susah nak kirim dari Pulau Pinang lagi lepas ni kan?