Perkara ini disahkan melalui hebahan terkini JKJAV hari ini.
Jika sebelum ini hanya vaksin Pfizer-BioNtech sahaja dibenarkan untuk disuntik kepada ibu-ibu mengandung, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) hari ini telah mengeluarkan satu hebahan baharu untuk ibu-ibu mengandung dan menyusukan anak.
Menerusi poster tersebut, ibu mengandung dan ibu menyusu adalah selamat dan sesuai untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 dari pengeluar Astra Zeneca dan Sinovac.

Sesuai untuk ibu hamil antara 14 hingga 33 minggu
Untuk vaksin Astra Zeeneca dan Sinovac, kesesuaian adalah untuk ibu mengandung yang hamil antara 14 hingga 33 minggu. Manakala kesemua peringkat ibu menyusu juga dibenarkan untuk mengambil suntikan vaksin jenama selain Pfizer tersebut.
Walau bagaimanapun, bagi ibu mengandung yang hamil lebih daripada 34 minggu, golongan ini dinasihatkan untuk mendapatkan konsultasi dan nasihat daripada doktor sebelum meneruskan suntikan vaksinasi. Golongan ini juga digalakkan untuk berbincang dengan doktor masing-masing sekiranya terdapat sebarang kebimbangan untuk mendapatkan vaksin tersebut.
Maklumat terkini tentang kesesuaian vaksin akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Jadi, bagi golongan ibu hamil dan menyusu yang sedang menunggu tarikh vaksinasi ataupun telah mendapatkan tarikh vaksinasi, segera hadir ke pusat vaksinasi dan dapatkan suntikan vaksinasi bagi melindungi diri dan anak anda.
