Bapa Kanak-Kanak Autistik Disaman Setelah Video Memandu Tular
Polis Saman Bapa Kanak-Kanak Autistik 11 Tahun Memandu Tanpa Lesen Di Sibu. Polis telah mengeluarkan saman terhadap bapa seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dilihat dalam video tular memandu kereta di Jalan Kampung Nyabor.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili, berkata saman yang dikeluarkan di bawah Seksyen 26 (1) B Akta Pengangkutan Jalan 1987 adalah kerana membenarkan pemandu tanpa lesen yang sah memandu.

Polis Saman Bapa Kanak-Kanak Autistik 11 Tahun Memandu Tanpa Lesen Di Sibu
“Pada 5 Jun sekitar jam 3 petang, kami mengesan satu video yang dimuat naik di Facebook oleh seorang ahli masyarakat yang menunjukkan sebuah kereta dipandu oleh kanak-kanak bawah umur di Jalan Kampung Nyabor.
“Pada hari yang sama sekitar jam 6.50 petang, kami berjaya mengesan pemandu tersebut bersama ibu bapanya. Mereka telah dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sibu untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
ACP Zulkipli berkata, siasatan mendapati bahawa kanak-kanak tersebut adalah autistik dan mempunyai rekod perubatan di Klinik Pakar Psikiatri Hospital Sibu.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi mengenai video tular tersebut dan menegaskan bahawa pihak polis sedang mengendalikan perkara ini secara profesional.
