Kapasiti jemaah bagi menunaikan umrah telah dinaikkan kepada 100,000 orang.
Kapasiti Harian Jemaah Dinaikkan Kepada 100,000 Untuk Menunaikan Ibadah Umrah. Dilaporkan bahawa, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan kapasiti harian bagi jemaah umrah dinaikkan kepada 100,000 bermula hari ini manakala bilangan jemaah solat fardhu juga turut dinaikkan kepada 60,000 orang.
Persediaan menerima 3.5 juta jemaah dan pengunjung sebulan.
Menurut akaun Twitter kementerian itu, pihaknya berkoordinasi dengan agensi-agensi berkaitan dalam melaksanakan pelan strategik yang menumpu kepada kesihatan dan keselamatan sebagai persediaan menerima 3.5 juta jemaah dan pengunjung sebulan.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi paada awal September lepas mengumumkan seramai 10 juta jemaah telah mengerjakan ibadah umrah sejak pelancaran ‘model Umrah yang selamat’ pada 4 Oktober 2020.
Di samping itu, kementerian turut mendedahkan lebih daripada 12,000 visa telah dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi bagi menyambut kedatangan jemaah dari pelbagai negara sejak 10 Ogos lalu.
Bersedia menerima kedatangan lebih ramai jemaah daripada dalam dan luar Arab Saudi
Dalam masa yang sama, Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi berkata pihaknya bersedia menerima kedatangan lebih ramai jemaah daripada dalam dan luar Arab Saudi serta menyediakan perkhidmatan terbaik untuk memudahkan segala urusan jemaah.
“Segala operasi dan persiapan menyambut kedatangan jemaah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan semua langkah pencegahan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi untuk memudahkan jemaah mengerjakan umrah”, jelasnya.
