Nak pergi ke gua tapi jauh sangat? Bagi mereka yang tinggal di bahagian selatan Sarawak, ini adalah gua terdekat yang boleh anda kunjungi.
Kehijauan Tersembunyi Dalam Terowong Batu Kapur, Terokai Keindahan Gua Pari-Pari Di Bau. Selain terkenal dengan tempat mendaki, Sarawak juga mempunyai keindahan struktur gua batu kapur yang tidak kurang hebatnya. Seindah namanya, terdapat sebuah gua yang mesti anda kunjungi memandangkan kini ia telah selesai ditambah baik dan berwajah baharu!
Gua Pari-Pari terletak di Pekan Bau, iaitu kira-kira 40 kilometer dari pusat bandar Kuching dan mengambil masa lebih kurang 45 hingga 1 jam perjalanan menggunakan kereta. Untuk makluman anda, gua ini dibuka setiap hari kecuali hari Isnin. Walau bagaimanapun, gua ini akan dibuka untuk kunjungan awam sekiranya hari Isnin tersebut merupakan cuti umum.
Anda juga dinasihatkan untuk pergi ke sini pada waktu panas atau selepas hujan reda kerana gua ini akan ditutup sementara sekiranya cuaca hujan, ribut atau guruh bagi memastikan keselamatan pengunjung daripada struktur batu kapur yang tidak stabil.
Cuma bayar RM 1 sahaja. Murah giler!
Anda juga tidak perlu berbelanja mahal untuk menikmati pengalaman yang menakjubkan di dalam gua ini. Bagi pengunjung dewasa yang berusia 19 hingga 59 tahun, mereka hanya perlu membayar RM 1 sahaja manakala warga emas, golongan kelainan upaya, remaja serta kanak-kanak yang berusia 6 hingga 18 tahun dibenarkan masuk secara percuma. Yuran masuk untuk pengunjung bukan Malaysia juga sangat murah iaitu dari RM 2 hingga RM 5 sahaja mengikut kategori.



Bagi mengelakkan kesulitan, kami nasihatkan anda untuk memakai kasut bertutup kerana pihak rizab tidak akan membenarkan anda masuk sekiranya anda tidak memakai kasut yang sesuai. Jika anda betul-betul terlupa atau terdesak, tak mengapa. Anda tidak perlu berpatah balik ke rumah kerana pihak rizab ini turut menyediakan sewaan kasut getah dengan bayaran RM 3.
Tiga trail dengan pengalaman yang menakjubkan
Terdapat TIGA trail yang boleh anda nikmati di dalam Gua Pari-Pari ini iaitu Dark Trail, Twilight Trail dan Summit Trail (Trail Summit Gunung Kapur). Daripada tiga trail ini, hanya dua trail (Dark Trail dan Twilight Trail) yang anda boleh kunjungi tanpa menggunakan khidmat pemandu pelancong. Bagi Trail Summit Gunung Kapur pula, anda diwajibkan untuk menempah pemandu pelancong yang telah diperakui oleh pihak Rizab bagi menemani pengembaraan anda sehingga ke puncak gunung.





Dari pintu pagar hadapan, anda akan menaiki beberapa tingkat anak tangga sebelum anda masuk ke dalam trail pertama iaitu Twilight trail. Dalam trail ini, anda bakal menemui struktur batu kapur yang mengagumkan. Sepanjang laluan, anda akan dipamerkan dengan kehijauan bahagian dalam gua yang pastinya memukau pandangan anda.


Di sini juga terdapat spesis tumbuhan unik yang hanya mempunyai satu daun iaitu Monophyllaea atau turut dikenali sebagai one-leaf plant. Selain itu, anda juga bakal menemukan tumbuhan berbunga yang lain seperti begonia speluncae Ridl.


Masuk ke bahagian Dark Trail pula, anda perlu menggunakan lampu suluh untuk melalui kawasan ini. Dah nama pun trail gelap kan. Menurut renjer yang bekerja di sini, Dark Trail ini dibuka khas untuk mereka yang ingin merasai pengalaman menjejaki gua, terutamanya bagi mereka yang belum pernah memasuki gua.
Struktur stalagmit dan stalaktit sudah tentunya perkara pertama yang akan anda lihat sebaik sahaja memasuki trail ini. Kedua-dua struktur ini terbentuk hasil daripada perkumpulan kalsium karbonat daripada air yang menitis. Jika anda bertuah, anda boleh menemui kelawar-kelawar sedang tidur di siling gua!


Bagi mereka yang ingin mengambill gambar kenang-kenangan, anda juga boleh berbuat demikian di atas platform dengan pemandangan sawah padi yang menghijau serta gunung yang dipanggil Bung Podad dan Bung Ngiraja.

Anda pasti tidak akan menyesal pergi ke sini kerana vibe nya lebih kurang sama seperti Gua Niah di Miri! Sama cantik, sama ajaib!
Taman Rizab Gua Pari-Pari dibuka bermula jam 9 pagi sehingga 4 petang. Kalau pergi ke sini, jangan lupa ambil gambar dan tag media sosial kami.