Atlet pertama menang pingat emas buat Indonesia di Olimpik
Asal Pontianak, Kenali Veddriq Leonardo Yang Berjaya Menang Emas Pertama Olimpik Buat Indonesia. Veddriq Leonardo, seorang atlet speed climbing berasal dari Pontianak, telah mencatat sejarah gemilang dengan merangkul pingat emas pertama untuk Indonesia di Sukan Olimpik Paris 2024.
Kemenangan ini menjadi lambang kebanggaan nasional dan menambah koleksi pencapaian cemerlang dalam kerjayanya yang sudah penuh dengan gelaran juara dunia.

Mula sukan speed climbing sejak sekolah menengah
Lahir pada 11 Mac 1997, Veddriq memulakan perjalanan dalam sukan speed climbing sejak di bangku sekolah menengah lagi! Dia mula menyertai pertandingan mewakili sekolahnya dan akhirnya memilih untuk fokus terhadap acara speed climbing, yang akhirnya merupakan sebuah keputusan yang tepat.
Sejak 2018, Veddriq telah meraih enam gelaran juara dunia dalam Piala Dunia IFSC, dengan kemenangan di pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Switzerland, dan Korea Selatan. Kegigihannya dalam acara speed climbing membawanya ke puncak kejayaan di Sukan Olimpik Paris tahun ini.

Berjaya membawa pulang emas pertama buat negaranya
Pada peringkat akhir acara yang berlangsung pada 8 Ogos 2024, Veddriq berjaya mencatat masa 4.79 saat, hanya 0.05 saat lebih lambat daripada pemegang rekod dunia, Sam Watson dari Amerika Syarikat. Walaupun bukan yang terpantas, masa ini cukup untuk memastikan Veddriq membawa pulang emas.
Pencapaian ini bukan sekadar kejayaan peribadi, tetapi juga memberi harapan baru kepada sukan speed climbing di Indonesia. Veddriq telah menunjukkan bahawa dengan kerja keras dan dedikasi, atlet dari Indonesia mampu mencapai kejayaan di peringkat dunia.
Selain kejayaan Olimpik, Veddriq juga telah mengumpul pelbagai pingat dan penghargaan lain, termasuk pingat emas di Sukan Asia 2018 dan PON Papua. Prestasinya menjadikan beliau sebagai sebuah inspirasi kepada atlet muda di Indonesia yang bercita-cita untuk membawa nama negara di arena antarabangsa.

