Permohonan Maaf Syarikat Verns Atas Kontroversi Logo Kasut
Kecoh Logo Menyerupai Kalimah Allah Di Tapak Kasut, Ini Kenyataan Rasmi Vern’s. Syarikat Verns Holding Sdn Bhd telah menjelaskan isu kontroversi berkaitan logo kasut yang disyaki menyerupai perkataan ‘Allah‘ dalam tulisan Arab. Pihak syarikat juga telah memohon maaf atas insiden tersebut.
Menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya, Verns menjelaskan bahawa grafik logo itu sebenarnya adalah kasut tumit tinggi yang digayakan dengan tali, dan ia tidak ada niat untuk mereka bentuk logo yang menghina mana-mana agama atau kepercayaan.

Kecoh Logo Menyerupai Kalimah Allah Di Tapak Kasut, Ini Kenyataan Rasmi Vern’s
“Kami dengan rendah hati ingin memohon maaf kepada semua dan kami berharap diberi peluang untuk memperbetulkan kesilapan itu,” kata kenyataan syarikat itu.
Pihak Verns juga berkata, mereka telah mengambil langkah segera untuk menghentikan penjualan kasut yang terjejas dan akan menawarkan bayaran balik kepada pelanggan yang telah membelinya.
“Ini adalah pengajaran yang sangat berharga untuk kami lebih berhati-hati dalam setiap keputusan kami bagi memastikan insiden sebegini tidak berulang,” tambah syarikat itu.
Verns Holdings menjelaskan lagi bahawa logo itu adalah 100 peratus berdasarkan siluet kasut bertumit tinggi dengan tali, namun mengakui terdapat kelemahan dalam reka bentuk logo yang boleh menyebabkan ia disalah tafsir dan menyinggung perasaan orang lain.
Perkara ini sebelum ini telah menarik perhatian Ketua Polis Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang mengarahkan siasatan dan penjelasan lanjut mengenainya.
