Diumumkan Melalui JPBN Sarawak
Kerajaan Sarawak Benarkan Tambahan Penerbangan Masuk Mulai Esok. Terkini, kerajaan Sarawak telah mengumumkan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dimana jumlah penerbangan masuk ke negeri telah diluluskan susulan kejayaan negeri dalam membendungi pandemik Covid-19.
Peningkatan Penerbangan Berjadual Mingguan
Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin, beliau berkata sebanyak 331 penerbangan berjadual mingguan telah diluluskan antara bulan Julai dan Ogos tahun ini. Ini merupakan peningkatan yang besar dari sekali seminggu oleh Malaysia Airlines antara Kuala Lumpur, Kuching, dan Miri semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Keputusan untuk menyetujui dan meningkatkan frekuensi penerbangan antara Semenanjung Malaysia ke Sarawak dan sebaliknya dibuat pada 15 Jun setelah mempertimbangkan pelbagai faktor,” katanya.
Faktor yang dimaksudkan adalah peningkatan dalam keadaan pengekangan Covid-19 di Sarawak, keperluan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi domestik, terutama sektor pelancongan dan untuk memudahkan pergerakan barang serta orang untuk bertujuan perniagaan, rasmi, dan peribadi.
Dilaporkan juga, syarikat penerbangan Malindo akan meningkatkan penerbangan menjadi dua kali sehari, Scoot akan menambah penerbangan setiap minggu dari Singapura manakala AirAsia Berhad akan meningkatkan penerbangan mereka, termasuk meletakkan Singapura di laluan mereka.
Selaris Dengan SOP
Beliau berkata lagi walaupun telah diberikan persetujuan untuk meningkatkan frekuensi penerbangan dan pada kapasiti penerbangan 100%, semua agensi seperti pengendali lapangan terbang dan pengendali syarikat penerbangan mesti mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan ketat ketika di terminal dan apabila berada di dalam pesawat.
Ini juga termasuk pemeriksaan suhu badan sebelum dibenarkan masuk dalam terminal lapangan terbang, syarat untuk kru dan penumpang memamakai topeng muka dan menggunakan pembersih tangan. Selain itu, satu syarat ditambah iaitu penumpang dikehendaki untuk memuat turun dan melengkapkan maklumat mereka di aplikasi MySejahtera.
“Penumpang juga diminta untuk mengisi borang perisytiharan e-Kesihatan di http://sdmc.sarawak.gov.my, disarankan untuk memuat turun aplikasi COVIDTrace Sarawak dan Qmunity selain dikenakan sampel PCR (Polumerase chain reaction) secara rawak semasa ketibaan,” ujarnya lagi.