Inisiatif Ini Telah Wujud Di Sabah dan Sarawak Sejak 2015

Ketahui Baby Hatch, Khidmat Lindungi Bayi Daripada Dibuang. Saban tahun, masih terdapat kes pembuangan bayi berlaku di negara kita terutamanya di Sabah dan Sarawak. Terbaharu, seorang bayi perempuan yang tidak berdosa ditemui meninggal dunia setelah ditinggalkan di sebuah longkang. Setelah disiasat, bayi malang yang dibuang di longkang Lorong 10, Fasa 3, Bandar Baru Semariang tersebut adalah milik seorang wanita berusia 20 tahun.
Pembuangan bayi bukanlah jalan terakhir yang rasional dan munasabah untuk diambil. Sebaliknya, terdapat satu alternatif yang selamat bagi mengelakkan nyawa bayi yang tidak berdosa ini dapat diselamatkan iaitu baby hatch. Namun, adakah anda tahu tentang baby hatch?
Baby Hatch, Jalan Terakhir Elak Pembuangan Bayi


Baby hatch merupakan sebuah khidmat bagi melindungi bayi yang lahir daripada dibuang. Penubuhan baby hatch yang pertama di Sarawak adalah di bawah KPJ Kuching Specialist Hospital, Tabuan. Dilancarkan pada awal tahun 2017, ia bertujuan untuk menyediakan perlindungan kepada bayi sekiranya si ibu tidak berkemampuan untuk menanggung bayi tersebut.

Di Sabah, fasiliti baby hatch ini telah wujud sejak tahun 2015 dan ditempatkan di Damai Specialist Hospital. Usaha ini merupakan kerjasama antara KPJ Healthcare Bhd., Jabatan Kebajikan serta Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
Sejak ia dibuka pada tahun 2017, KPJ Kuching telah menerima kehadiran 3 orang bayi namun seorang daripada bayi tersebut telah meninggal dunia sewaktu ia diambil dari baby hatch.
Bagaimana Baby Hatch Ini Berfungsi?

Untuk makluman anda, kawasan fasiliti baby hatch ini tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup bagi menyembunyikan identiti si ibu. Nyalaan kotak hatch menandakan terdapat kehadiran bayi di dalam baby hatch sekaligus memberitahu pihak hospital. Pintu hatch akan terkunci secara automatik dari dalam. Dalam masa yang sama, si ibu akan diberi masa untuk menyelesaikan urusan terakhir bersama bayi mereka sebelum staf hospital dibenarkan mengambil bayi tersebut.
Apa Nasib Bayi Jika Diserahkan Ke Baby Hatch?

- Bayi diletakkan di dalam ruangan baby hatch. Maklumat penting bayi seperti agama perlu ditulis dalam kertas yang disediakan. Identiti penghantar tidak akan dijejaki atau diambil kira.
- Sebaik sahaja penghantar beredar, pintu hatch akan terkunci secara automatik dari dalam dan penggera di unit A&E akan berbunyi menandakan terdapat bayi di dalam hatch.
- Bayi akan segera diperiksa oleh pasukan perubatan. Jika bayi memerlukan rawatan intensif, mereka akan dihantar ke pakar paediatrik untuk rawatan lanjut.
- Pihak fasiliti (KPJ) memaklumkan tentang bayi tersebut kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pihak polis untuk prosedur pengurusan yang seterusnya.
- Bayi akan dijaga oleh pihak hospital selama 3 hari sebelum diserahkan kepada JKM.
- Bayi akan terus berada di bawah jagaan JKM sebelum diserahkan kepada keluarga angkat mengikut undang-undang yang sah.

Kewujudan fasiliti ini adalah bagi menyediakan jalan terakhir bagi mengelakkan para ibu terpaksa membuang bayi tersebut di tempat yang tidak sepatutnya. Bayi yang baru lahir berhak untuk hidup dan si ibu juga dapat meneruskan kehidupan dan tidak mengulangi kesilapan yang sama. Namun demikian, ia bukanlah satu galakan untuk pembuangan bayi dan kehamilan luar nikah. Ia hanyalah jalan terakhir.
Kesedaran tentang baby hatch ini perlu dipertingkatkan dalam kalangan orang awam agar mereka tahu bahawa terdapat saluran yang betul bagi membendung gejala buang bayi.
Sebarkan untuk kebaikan semua. Lindungi bayi tidak berdosa, anda mampu mengubahnya.