Warisan Bajau-Sama dipersembah KLSP di sekolah-sekolah Sabah
KL Shakespeare Players Persembah Cerita Rakyat Bajau Ke Sekolah Sekitar Sabah. KL Shakespeare Players (KLSP), sebuah kumpulan teater dalam pendidikan yang bergerak dari sekolah ke sekolah dan berpusat di ibu kota kita, telah melawat sekolah-sekolah di Sabah dari 15 hingga 17 Oktober 2024 untuk mempersembahkan cerita rakyat Bajau-Sama, Kanang dan Serimpak, kepada pelajar di sekolah-sekolah terpilih. Rombongan ke Sabah ini terdiri daripada lima pelakon: Lim Soon Heng, Lim Kien Lee, Tharwa Karina, Zul Zamir, dan Emily Thomas.
KLSP ditubuhkan pada tahun 2011 oleh sekumpulan peminat teater yang pada mulanya hanya mengadaptasi karya penulis terkenal William Shakespeare sebelum secara beransur-ansur memperluaskan repertoir mereka untuk merangkumi cerita rakyat dan kisah etnik. Pada tahun 2021, pasukan ini mula mengadaptasi kisah Bajau-Sama ke dalam bentuk teater hibrid dengan kerjasama beberapa wakil dari komuniti di Sabah.

Disebabkan oleh sekatan pandemik, mereka mempersembahkan karya ini secara langsung melalui Zoom untuk pelajar sekolah di seluruh negara sebelum melakukannya secara fizikal melalui jelajah persembahan di sekolah-sekolah di negeri-negeri Malaysia dengan Sabah sebagai destinasi terakhir mereka. Mereka telah melawat beberapa sekolah rendah di Kota Kinabalu, Kota Belud, dan Keningau, dan seterusnya menghiburkan kira-kira 50 hingga 150 murid dari tahun dua hingga tahun enam di sekolah-sekolah ini melalui persembahan mereka.
Salah sebuah sekolah, Sekolah Kebangsaan Malawa, Kota Kinabalu, turut menjadi tuan rumah kepada murid-murid dari lapan sekolah lain di sekitar kawasan tersebut. Usaha mereka juga mendapat sokongan daripada beberapa wakil jabatan pendidikan daerah, institut latihan perguruan, dan jabatan pendidikan negeri yang hadir sebagai penonton. Sebuah organisasi guru berpusat di Sabah, HIVE Educators, membantu menganjurkan beberapa persembahan tersebut dan juga sebuah bengkel lakonan khas untuk pelajar Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Kolej Vokasional Keningau.
Usaha Murni KLSP Perkenal Cerita Rakyat Kepada Generasi Muda
Projek ini telah mendapat pembiayaan daripada Yayasan Hasanah ArtsFAS dan Yayasan Sime Darby serta telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.Lim Soon Heng, pengarah eksekutif KLSP, berharap usaha mereka akan berjaya meyakinkan lebih banyak organisasi dan agensi untuk membantu membiayai projek ini kerana ianya telah menerima sambutan yang amat positif daripada sekolah-sekolah, para pelajar, guru, pengetua serta orang awam.
Kumpulan teater ini berhasrat untuk menghidupkan semula cerita rakyat tempatan di negara ini melalui seni persembahan sambil terus mengadaptasi karya sastera Shakespeare. Mereka juga bercadang untuk mengadakan lebih banyak persembahan di Malaysia dan seterusnya di rantau Asia Tenggara.

