Di bawah bukit Mabong terdapat satu perkampungan Iban
Lagenda Bukit Mabong, Kisah Disebalik Sebuah Bukit Menyerupai Gajah Di Kapit. Apabila anda memasuki jalan menuju ke Tunoh, anda pasti akan dihidangkan dengan sebuah pemandangan yang memukau dari sebuah bukit yang dinamakan sebagai Bukit Mabong.
Di Bukit Mabong ini, terdapat sebuah perkampungan Iban merangkumi beberapa buah rumah panjang di Kampung Skim Tunoh yang menapak di kaki bukit ini.
Menurut warga sekitar itu, Bukit Mabong dinamakan sempena nama ‘Mabong’ yang bermaksud gajah dalam bahasa Iban.
Mana tidaknya, bukit itu sendiri dikatakan mempunyai bentuk fizikal yang unik menyerupai seekor gajah yang sedang tidur, dan apabila dilihat dari pemandangan atas, terlihat pula gambaran gajah-gajah lain yang mengikuti dari belakang.
Bukan sahaja menarik dari segi pemandangan yang tersergam indah malah mempunyai seribu satu kisah sejarah yang mengangumkan
Tambah penduduk tempatan, Bukit Mabong ini pernah menjadi kubu pertahanan bagi sekumpulan orang Iban di bawah pimpinan seorang pemimpin bernama Belayong, yang menentang dan menantang pemerintahan Rajah Putih Brooke pada awal tahun 1880-an.

Sekarang, perkampungan Bukit Mabong dijadikan salah satu tempat skim penanaman padi terbesar di Kapit.
Sekiranya anda ke Skim Tunoh ini anda akan disajikan dengan penempatan skim penanaman padi sawah paya yang dikendalikan oleh orang kampung di Skim Tunoh.
Bahkan, persekitaran dan alam semula jadi yang menghijau di sekitar itu menjadikannya lokasi ini menjadi tempat rekreasi atau kunjungan orang luar.
Lokasi ini juga turut terkenal dengan air terjun yang dikenali sebagai Pancur Mabong. Untuk ke sini, anda perlu melakukan sedikit pendakian dan terdapat 3 stesen perhentian sebelum anda sampai ke pancur ini.
Rata-rata pengunjung yang berkunjung ke Tunoh ini menyifatkan kunjungan mereka ibarat satu pakej lengkap.
Sampai sahaja di sana, mata anda terus dihidangkan dengan pemandangan berlatarbelakangkan sebuah bukit tersergam indah dinamakan Bukit Mabong, air terjun, serta beberapa rumah panjang Iban yang dibina sepanjang Sungai Tunoh yang mengalir jernih dan sejuk.
