Lagu ‘Jambatan Tamparuli’ berkumandang pada pembukaan Gyeryong Military Culture Festival 2024 Korea
Lagu ‘Jambatan Tamparuli’ Berkumandang Di Pembukaan Festival Gyeryong Korea Curi Tumpuan Netizen. Tular di TikTok baru-baru ini, ramai teruja apabila lagu ikonik Sabah, Jambatan Tamparuli, dimainkan semasa upacara pembukaan acara berprestij Gyeryong Military Culture Festival 2024 di Korea Selatan.
Lagu tersebut telah dipersembahkan oleh Pasukan Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja (PPPKAD) Malaysia, yang telah menarik perhatian ramai dengan pilihan muzik berkenaan yang begitu sinonim dengan budaya Sabah.

Bendera Sabah juga dikibarkan ketika persembahan
Video persembahan ini raih lebih dari 350K tontonan di TikTok (setakat artikel ini ditulis), di mana netizen Sabah khususnya tidak dapat menyembunyikan rasa teruja mereka apabila mendengar lagu yang membawa nostalgia ini dimainkan di acara antarabangsa.
Pada persembahan Pasukan Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja tersebut, bendera Sabah juga dikibarkan di pentas antarabangsa membuatkan ramai berasa teruja.

Lagu rakyat Sabah, Jambatan Tamparuli
Jambatan Tamparuli, sebuah lagu rakyat yang menceritakan kisah sebuah jambatan terkenal di Tamparuli, Sabah, merupakan sebahagian daripada lagu warisan budaya yang amat dihargai di negeri itu.
Pasukan Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja bukan sahaja berjaya mempersembahkan irama muzik dengan penuh semangat tetapi turut mengangkat martabat muzik Sabah ke peringkat antarabangsa.

