Larangan merokok di premis makanan masih terpakai
Lebih 3000 Notis Kesalahan Merokok Dikeluarkan, Sarawak Kedudukan Ketiga Tertinggi. Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyatakan sejak Januari hingga 24 Oktober tahun ini, sebanyak 3,419 notis kesalahan merokok di premis makan telah dikeluarkan.
Dipetik dari Bernama, Menteri Kesihatan berkata, Terengganu merupakan antara lima negeri yang direkodkan menerima notis kesalahan merokok yang tertinggi, iaitu 652 notis, diikuti Pahang (601), Sarawak (365), Perak (356) dan Kuala Lumpur (303).
Tambah beliau, notis tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 32B Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Mengikut Perkara 11 (1) (d) Pindaan PPKHT 2004 2018 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2019, semua premis makanan termasuk restoran berhawa dingin dan restoran terbuka telah diwartakan sebagai tempat larangan merokok.
“Kementerian Kesihatan (KKM) telah mempergiat aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di premis makan khususnya selepas peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara dan kebenaran makan di tempat makan telah diberikan oleh kerajaan,” kata Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan.
Hal ini untuk mengelakkan komplikasi terutamanya bagi perokok pasif
Beliau menegaskan larangan merokok ini bukan untuk menghukum perokok, tetapi untuk mengelakkan komplikasi yang disebabkan oleh tabiat perokok dan perokok pasif (iaitu orang di sekeliling perokok).
Katanya, Kementerian Kesihatan komited membantu golongan ini uuntuk berhenti merokok dan penendaftaran perkhidmatan berhenti merokok mQuit boleh dibuat menerusi laman web www.jomquit.com.
