Tertuduh didakwa atas 2 kesalahan
Penggal Kepala Kucing Dan Ugut Bunuh Ibu Kandung, Lelaki Dari Bau Didakwa Di Mahkamah. Mahkamah Sesyen Kuching hari ini menolak pengakuan bersalah seorang lelaki yang didakwa memenggal kepala seekor kucing menggunakan pisau pemotong daging dan mengugut bunuh ibunya pada 15 Mei lalu. Hakim Musli Ab Hamid memutuskan demikian terhadap Jefrie Drahman, 33, selepas tertuduh membantah fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norshafatihah Nor Azmi.
Hakim Musli memerintahkan pengurusan kes diadakan pada 19 Jun 2024 untuk pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah (CPC). Perbicaraan kes pula ditetapkan pada 10 dan 11 Oktober 2024. Selain itu, Hakim Musli juga menolak permohonan ikat jamin Jefrie dan mengarahkan beliau direman di Penjara Puncak Borneo sehingga sebutan kes selesai.
Jefrie menghadapi dua pertuduhan, dengan pertuduhan pertama di bawah Seksyen 30(2) Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 30(4) akta yang sama. Dalam pertuduhan ini, Jefrie didakwa memenggal kepala seekor kucing menggunakan pisau pemotong daging tanpa sebab atau kebenaran munasabah daripada pihak berkuasa. Jika sabit kesalahan, Jefrie boleh dikenakan denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Jefrie didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya yang berusia 70 tahun dengan mengancam akan menyebabkan kematian.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan oleh Jefrie pada 15 Mei 2024 sekitar jam 12.40 tengah hari di sebuah rumah di Batu 13, Jalan Tanjong Durian, Kampung Keranji di Bau. Difahamkan, Jefrie berada dalam keadaan stres ketika kejadian berlaku dan ujian saringan awal air kencingnya didapati positif dadah.
Jefrie tidak diwakili peguam dan kes ini disiasat oleh Sarjan Mohammad Asfia Ilias.
