Ada Yang Tetap Sama Macam Puluhan Tahun Yang Lalu.
Lihat Gambar Dulu Dan Sekarang Pusat Keagamaan Di Sekitar Bandaraya Kuching. Pernah kah anda melihat bangunan bersejarah di Kuching dan membandingkan dengan rupa nya yang asal seperti ia mula-mula ditubuhkan?
Menerusi perkongsian seorang pengguna Facebook, James Goh C. Hiong, beliau memuat naik beberapa keping gambar ‘dahulu dan sekarang’ di Bandaraya Kuching termasuklah lokasi pusat keagamaan.

1. The Bishop’s House (Belakang St. Thomas)
Bangunan Bishop’s House ini merupakan salah satu bangunan yang tertua di Kuching. Dibina pada tahun 1849, ia merupakan kediaman peribadi buat Anglican Bishop Kuching dan tidak dibuka untuk kunjungan awam.
Semasa pemerintahan James Brooke, kawasan yang dikenali sebagai College Hill ini diserahkan kepada seorang paderi Kristian untuk dijadikan pusat aktiviti keagamaan. Seni binanya yang menarik dan unik merupakan idea asal Reverend Francis Thomas McDougall yang pada ketika itu baru tiba dari England bersama isterinya. Pembinaan bangunan ini dijayakan dengan bantuan seorang tukang kayu dari Jerman, Theodore Auguste Stahl.

2. Masjid Jamek
Masjid Jamek merupakan masjid pertama yang dibina di Bandar Kuching pada tahun 1847. Ia merupakan masjid yang tertua di Negeri Sarawak dan telah menjadi lambang Islam di negeri ini. Masjid ini telah dibina oleh seorang Ketua Orang Melayu Sarawak yang termasyhur dan ternama, iaitu Datu Patinggi Ali dan keluarganya.
Pada tahun 1929, para Dato-Dato dan masyarakat Islam dengan bantuan dari kerajaan Rajah Brooke telah sama-sama berusaha membina dan memperelokkan Masjid Negeri ini dengan pembinaan pintu besar, jendela-jendela, mimbar dan kubah tinggi dan besar berwarna hitam.
Namun demikian, sekitar bulan Februari, 1966, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, dijemput untuk meletakkan Batu Asas Masjid yang hendak diperbaharui itu.
Setelah melihat keadaan Masjid dan memandang betapa pentingnya Sarawak mempunyai sebuah Masjid yang lengkap dan sederhana besarnya sebagai lambang Islam dan perpaduan, maka beliau mencadangkan supaya masjid lama itu diroboh dan digantikan dengan sebuah masjid yang baru seperti yang anda lihat pada hari ini.

3. Gereja St. Thomas
Penubuhan Gereja St. Thomas ini berkait rapat dengan penyerahan kawasan College Hill oleh James Brooke kepada paderi Kristian dari England, Reverend Francis Thomas McDougall. Dengan adanya sebuah kawasan yang diperuntukkan oleh Rajah Sarawak untuk aktiviti keagamaan, maka Rev. McDougall mengasaskan gereja katedral St. Thomas ini bersama beberapa fasiliti lain seperti The Bishop’s House.
Dengan penubuhan gereja katedral ini di Sarawak, maka bermulalah penyebaran Kristian Anglican semasa pemerintahan Rajah Brooke. Ia ditahbiskan oleh Bishop Wilson dari Calcutta pada tahun 1851.

4. Tokong Hong San Si, Lebuh Carpenter
Dibina sekitar tahun 1848, tokong Hong San Si ini merupakan pusat ibadat bagi kaum Cina (Hokkien) dan di dedikasikan kepada dewa kanak-kanak dalam kepercayaan Hokkien iaitu Kong Teck Choon Ong. Rajah Putih Sarawak, James Brooke juga mempunyai kisah yang agak menarik berkaitan tokong ini.
Difahamkan, beliau melihat seorang kanak-kanak lelaki bermain air berhampiran pentas utama tokong. Hal ini dilihat oleh beliau semasa melalui kawasan tokong ini. Namun demikian, setelah ditanya kepada penganut yang berada di tokong sama ada terdapat keluarga dari China yang berhijrah ke Kuching, mereka menafikan perkara tersebut.
Para penganut tersebut sebaliknya memberitahu James Brooke bahawa ia mungkin jelmaan dewa kanak-kanak, Kong Teck Choon Ong. Menurut mereka, dari dinasti ke dinasti, maharaja di China sangat memuja dewa tersebut. Kagum dengan kisah tersebut, Rajah Sarawak yang pertama itu mengarahkan agar para penganut tokong tersebut membina pili air bagi menghormati dewa tersebut dengan harapan Kuching menjadi sebuah tempat yang sejahtera.

5. Kuil Siew San Teng Tua Pek Kong
Kuil yang terletak berhampiran dengan Waterfront ini merupakan kuil bagi penganut Taoisme. Difahamkan, ia merupakan kuil Cina yang tertua di Kuching. Walaupun tiada tarikh jelas bila ia ditubuhkan, namun kebanyakan sumber bersetuju bahawa kuil ini sudah dibina sejak sebelum abad ke 19 lagi. Lokasi pembinaan kuil ini dikatakan mempunyai feng shui yang sangat baik iaitu dengan kehadiran bukit di belakang dan sungai yang mengalir di kawasan hadapan.
Tua Pek Kong merupakan panggilan kepada dewan utama kuil. Bodhisattva seperti Guan Yin dan Kshitigarbha juga disembah di kuil ini. Terdapat empat perayaan utama yang diadakan di kuil ini setiap tahun, iaitu hari lahir Tua Pek Kong, hari lahir harimau Tua Pek Kong, Festival Perayaan Hantu Lapar, dan hari Ascencion dengan Tua Pek Kong.

Pada pendapat anda, anda suka yang mana? Versi yang lama atau versi sekarang? Apa-apa pun, bangunan bersejarah seperti ini haruslah sentiasa dipelihara kerana ia menyimpan cerita sebuah bandaraya seiring dengan waktu ia berkembang dan menjadi pesat sehingga ke hari ini.