Machan FC tarik diri dari Liga A1 Semi Pro akibat kekangan kewangan
Machan FC Tarik Diri Sertai Liga AI Semi Pro Malaysia. Disebabkan masalah kewangan yang dihadapi oleh Kelab Machan FC serta kos penerbangan yang semakin meningkat, Machan FC mengumumkan keputusan untuk menarik diri daripada Liga A1 Semi Pro Malaysia.
Pasukan Machan FC yang berasal dari Zon Tengah Sarawak di bawah Parlimen Kanowit merupakan satu-satunya kelab tempatan yang mewakili Sarawak dalam Liga A1 Semi Pro Malaysia bagi mengambil alih slot yang ditinggalkan oleh Sarawak United pada tahun lalu.

Seperti yang diketahui umum, Kelab Machan FC telah beroperasi menggunakan dana sendiri sepanjang penyertaan dalam Liga A1 Semi Pro. Pihak kelab juga telah cuba memohon dana daripada kementerian belia dan sukan Sarawak, namun terpaksa menerima keputusan Menteri bahawa bajet kementerian tidak meliputi penajaan untuk kelab-kelab Liga A1 yang dianggap sebagai Semi Pro.
Pihak kelab mengambil tanggungjawab penuh atas situasi ini tanpa menyalahkan mana-mana pihak dan memohon maaf kepada semua pemain, kerana hasrat dan visi kelab untuk memberi peluang kepada bakat pemain tempatan beraksi di peringkat kebangsaan tidak dapat diteruskan.
Presiden Pasukan Machan FC mengucapkan ribuan terima kasih kepada Amateur Football League, Persatuan Bola Sepak Negeri Sarawak serta Sarawak Sports Corporation atas bantuan menyediakan venue sepanjang Liga berlangsung.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada individu dan badan-badan swasta yang telah menyokong pasukan Machan FC sejak Liga M4 bermula sehingga kini.
Ucapan terima kasih turut ditujukan kepada penyokong yang sentiasa memberi kata-kata semangat dan sokongan kepada perjuangan pasukan Machan FC. Beliau menyatakan bahawa pihak kelab akur dan redha dengan takdir yang menimpa. Sekian, terima kasih.

