Malaysia Aviation Group dan FatHopes Energy Jalin Kerjasama Untuk Penghasilan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF)
MAG Selidik Mahu Ubah Minyak Masak Terpakai Jadi Bahan Api Jet Yang Mampan. Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk bagi Malaysia Airlines dan Firefly, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan FatHopes Energy Sdn Bhd (FHE) untuk meneroka potensi minyak masak terpakai (UCO) sebagai bahan mentah dalam pengeluaran Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).
Melalui kerjasama ini, FHE akan memberikan kepakaran dalam pengumpulan dan pemprosesan UCO agar memenuhi piawaian kelestarian serta keperluan peraturan.

Bertujuan menilai kebolehan pengeluaran SAF pada skala nasional
Selain itu, FHE akan menawarkan sokongan teknikal untuk memastikan proses pengumpulan, pemprosesan, dan penukaran UCO kepada SAF menepati peraturan industri dan alam sekitar.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh kedua-dua syarikat, mereka menyatakan bahawa inisiatif ini bertujuan menilai kebolehan pengeluaran SAF pada skala nasional.
Ini termasuk penilaian dari segi kelayakan ekonomi, impak terhadap alam sekitar, serta cabaran logistik dalam usaha menjadikan SAF sebagai alternatif yang mampan dan praktikal bagi bahan api jet konvensional.
Kerjasama ini juga merupakan satu langkah penting dalam usaha mengurangkan jejak karbon industri penerbangan. Dengan menggunakan UCO sebagai bahan mentah utama, ia dapat membantu mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil sekaligus menyumbang kepada amalan penerbangan yang lebih hijau dan mesra alam.

