Beri jaminan wakil petugas barisan hadapan akan patuh pada SOP majlis.
Menteri Ujar Sambutan Tahun Baru 2021 Sarawak Berniat Baik, Tetap Jemput Frontliners Hadiri Majlis. Beberapa hari kebelakangan ini, timbul satu isu yang menyebabkan kekesalan dalam kalangan rakyat terutamanya di Sarawak. Bermula daripada isu ‘double standard’ terhadap kemasukan artis yang dikatakan diberikan pelepasan atas dasar ‘essential services’, kini isu yang hangat diperkatakan tertumpu pula kepada sambutan tahun baharu 2021 yang diadakan malam ini di Sarawak.
Jika anda terlepas, ini cerita asalnya :
Hari ini, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Sarawak, YB Abdul Karim Rahman Hamzah, telah mengeluarkan satu kenyataan baharu di laman Facebooknya.
Walau bagaimanapun, entri asal yang mendapat perhatian lebih ramai orang telah dipadam dan telah diganti dengan entri yang baharu tidak lama selepas itu.
Cabar pembangkang untuk hadiri majlis tersebut bersama-sama
Menerusi entri tersebut, beliau telah mencabar pihak pembangkang untuk turut sama menyertai acara gilang gemilang untuk meraikan kedatangan tahun 2021 tersebut. Bukan itu sahaja, beliau juga turut menyeru agar pihak pembangkang tidak menjadikan penganjuran acara tersebut sebagai modal politik untuk meraih sokongan orang ramai.
Jelasnya lagi, penganjuran majlis tersebut tetap berniat baik iaitu bertujuan untuk meraikan petugas barisan hadapan yang telah berjuang melawan COVID-19 selama ini. Kehadiran mereka juga dialu-alukan menggunakan tiket jemputan yang telah diedarkan. Karim menegaskan bahawa isu pematuhan SOP tidak timbul kerana beliau yakin wakil petugas barisan hadapan ini akan bekerjasama mematuhi segala prosedur yang telah ditetapkan.
Karim turut mempertahankan penganjuran acara tersebut sebagai sesuatu yang berniat baik iaitu untuk meraikan para petugas barisan hadapan.
“Menteri luar negara tak buat majlis macam ni,” – Netizen
Namun demikian, rata-rata netizen yang memberikan komen di entri tersebut nyata tidak berpuas hati dengan tindakan ADUN Asajaya tersebut. Malah, acara berkenaan disifatkan sebagai sesuatu yang tidak perlu diadakan buat masa ini memandangkan kes jangkitan di Malaysia masih pada tahap yang tinggi. Sebuah komen yang dilihat memberi tamparan hebat kepada entri berkenaan adalah tentang menteri di luar negara tidak mengadakan majlis sambutan tahun baharu.
“Saya dari luar negara dan berasal dari Sarawak. Saya kecewa dengan anda YB Karim Hamzah. Menteri kami di luar negara tidak mengadakan majlis sepertimana yang kamu adakan ini. Bajet itu patut YB simpan untuk keperluan, bukan untuk mengadakan majlis, ok?
Netizen
Ada juga yang menyatakan bahawa barisan petugas hadapan tidak mahukan hiburan sedemikian rupa, tetapi sebaliknya mereka hanya perlukan masa untuk berehat. Salah sebuah komen pula memberi nasihat kepada YB agar mengelakkan daripada melakukan majlis seperti ini. Prevention is better than cure.
Majlis sambutan tahun baharu luar negara beralih ke platform lebih maju, dibuat secara virtual sepenuhnya tanpa kehadiran penonton fizikal
Sementara Sarawak masih mahu mengadakan acara sebegini secara fizikal, kemajuan teknologi yang ada telah dimanfaatkan sepenuhnya di luar negara apabila konsert-konsert serta acara-acara besar yang selama ini diadakan dengan puluhan penonton kini dapat disaksikan secara atas talian sahaja. Malah, acara sambutan tahun baharu tetap diadakan dengan pentas digital yang meriah dan tidak kurang hebatnya.
Senarai konsert tahun baharu secara atas talian seluruh dunia yang boleh anda lihat di pautan ini :
Di Malaysia, hanya Sarawak sahaja setakat ini dilihat mengadakan acara tersebut secara besar-besaran dengan jumlah tetamu undangan sehingga 1,000 orang. Jadi, adakah sambutan tahun baharu 2021 benar-benar sesuatu yang penting terutamanya untuk jemputan khasnya iaitu para petugas barisan hadapan? Yang pasti, belum tiba masanya untuk mereka dan kita bersuka ria kerana kebebasan yang kita ada sebelum COVID-19 masih belum kita dapatkan semula sehingga ke hari ini.