Tak seperti Mulan di mana kewujudannya belum dikenal pasti, Han E ialah seorang pahlawan wanita yang benar wujud malah mempunyai biografi sendiri
Menyamar Sebagai Lelaki Untuk Berperang, Pahlawan Ini Digelar Sebagai ‘Mulan Of Shu’. Filem Mulan kini trending dalam media sosial semenjak ia ditayangkan pada 4 September.
Filem tersebut mengisahkan tentang seorang wanita yang menyamar sebagai lelaki demi menyelamatkan ayah uzurnya dari berperang. Sebelum ini, Mulan sudah ditayangkan dalam bentuk kartun pada tahun 1998 dan filem terbaharu ini adalah adaptasi longgar berdasarkan legenda Hua Mulan.
Masih ada perdebatan sama ada Mulan adalah tokoh yang betul-betul wujud atau hanya legenda, kerana namanya tidak muncul dalam senarai Teladan Wanita yang merupakan kumpulan biografi wanita semasa dinasti Wei Utara, era dia dikatakan wujud.
Namun, ada wanita lain yang disahkan wujud dan merupakan pahlawan yang telah mengalami perang serta menyamar sebagai lelaki seperti Mulan. Nama wanita ini ialah Han E.

Lahir pada tahun 1345 Masihi
Han E terkenal di China sebagai seorang pahlawan yang berkhidmat dalam tentera anti Mongolia Cina iaitu Red Turban.
Dilahirkan perempuan, Han E menyamar sebagai seorang lelaki dan mengguna nama ‘Han Guanbao’ semasa masanya berkhidmat dalam tentera Red Turban.
Han E adalah anak perempuan dari akademik Han Cheng di Sichuan, China. Ketika pemberontakan terhadap orang Mongol meletus pada tahun 1361, dia memakai pakaian lelaki atas arahan keluarganya sebagai langkah perlindungan. Dia juga diberikan nama baharu iaitu Han Guanbao untuk mengelak syak wasangka dari orang lain.
Penyamaran itu menyebabkan dia masuk dalam tentera dan berkhidmat selama 12 tahun sebagai seorang pahlawan. Sepanjang durasi ini, dia sedaya-upaya cuba mempertahankan rahsia sebenarnya bahawa dia adalah seorang perempuan.

Jika rahsia sebenarnya terdedah, dia akan berisiko dijatuhkan hukuman mati kerana berbohong dan menyamar sebagai askar. Salah satu lagi sebab dia menahankan rahsianya adalah wanita pada zaman itu tidak dibenarkan menjadi askar dan dikehendaki duduk di rumah sahaja.
Bagi masyarakat Cina pada masa itu, melanggar peranan masing-masing adalah satu kesalahan dan bahkan memalukan nama keluarga. Contohnya, jika seorang lelaki tidak mematuhi perintah untuk berkhidmat sebagai askar setelah diminta oleh maharaja, dia akan dilabel pengecut. Manakala wanita yang kasar dan tidak lemah lembut dilabelkan wanita yang tidak boleh berkahwin.
Oleh sebab Han E menyamar sebagai seorang lelaki dan terpaksa menunjukkan sifat kelakian agar rahsianya tidak terbongkar, Han E berisiko bukan sahaja dibunuh atas kesalahan menipu tetapi dia juga berisiko membawa penghinaan terhadap keluarganya.

Dinaikkan pangkat ke jawatan leftenan
Selama 12 tahun, Han Guanbao berperang di bawah komando Wang Quyan dan Luo Jia. Pada masa ini, dia dinaikkan pangkat ke jawatan leftenan.
Penyamaran Han E sangat berkesan sehingga jeneral dia sangat mempercayai Han Guanbao. Malah, jeneral tersebut ingin menjadikan Han Guanbao menantunya dan menawarkan anak perempuan dia sendiri sebagai isteri kepada Han Guanbao tanpa mengetahui bahawa Han Guanbao adalah seorang wanita.
Han Guanbao didedahkan sebagai seorang wanita apabila dia enggan bermalam dengan anak perempuan jeneral itu setelah mereka berdua nikah. Penolakannya untuk bermalam dengan anak perempuan jeneral itu mendatangkan konflik antara keluarga mereka dan akhirnya rahsia Han E yang telah sekian lama simpan didedahkan.
Setelah rahsia Han E terbongkar, dia dibenarkan kembali ke keluarganya dan kemudian berkahwin dengan lelaki lain.
Perbuatannya dianggap oleh orang-orang sezamannya sebagai sesuatu yang mengagumkan, terutama pada malam perkahwinannya ternyata dia masih dara, dan dia sudah dirayakan selama waktunya sebagai pahlawan perang yang suci. Biografinya pertama kali ditulis pada tahun 1409.
Ia tidak diketahui bila dia meninggal dunia. Sehingga hari ini, Han E dikenali sebagai ‘Mulan of Shu‘ kerana persamaan ceritanya dengan Mulan yang terpaksa menyamar sebagai lelaki demi berperang.
