Miki tumbangkan lawan di Kejohanan Muay Thai Antarabangsa Wilayah Pahlawan 2025
Miki Ghazali Tewaskan Lawan 10 Tahun Lebih Tua Di Kejohanan Muay Thai Antarabangsa. Dilaporkan, petarung muda dari Rentap Muaythai, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Miki, mencipta kejutan apabila menumbangkan lawan lebih tua dan berpengalaman di Kejohanan Muay Thai Antarabangsa Wilayah Pahlawan 2025 yang berlangsung malam tadi.
Lebih mengagumkan, Miki yang baru berusia 15 tahun telah berjaya menewaskan petarung dari Maghribi, Said El Matador, yang sudah berusia 25 tahun! Kalau korang rasa nama ni familiar, ya, Miki adalah adik kepada petarung ONE Championship, Mohammad Johan Ghazali. Nampaknya darah fighter memang mengalir dalam keluarga mereka!

Aksi dominan di pusingan pertama
Miki, yang juga pemenang pingat emas SUKMA Sarawak 2024, langsung tidak gentar berdepan lawan yang lebih senior. Seawal pusingan pertama, dia terus melancarkan kombo tumbukan padu yang membuatkan Said terpaksa bertahan.
Masuk pusingan kedua, Miki semakin agresif, tidak memberi ruang langsung untuk Said membalas serangan. Lawan hanya mampu counter attack, tetapi kurang berkesan.
Pusingan ketiga, Miki mengurangkan tempo, memberi sedikit ruang untuk Said mencuba beberapa kombinasi serangan, tetapi gagal menjatuhkan petarung muda berbakat besar ini.

Stadium riuh apabila Miki dinobatkan juara!
Selepas pertarungan sengit, keputusan diumumkan berdasarkan kiraan mata, dan Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur bergema dengan sorakan apabila Miki dinobatkan sebagai pemenang! Sebagai juara, Miki kini pemegang tali pinggang Wilayah Pahlawan, yang ditaja oleh Tourism Malaysia.
Muda, berbakat, dan berani, Miki kini dalam radar sebagai bintang Muay Thai masa depan!

