Fast Culture Auto, Music Festival 2025 akan berlangsung 3 hingga 4 Mei nanti
Fast Culture 25: Festival Auto & Muzik Pertama Sarawak Bakal Gegarkan Kuching. Dilaporkan, Fast Culture Auto and Music Festival 25 bakal mencipta sejarah sebagai acara pertama seumpamanya di Sarawak yang menggabungkan pameran automotif bersama muzik.
Acara yang akan berlangsung di Stadium Sarawak pada 3 dan 4 Mei ini bakal menampilkan kehadiran istimewa personaliti automotif serta jenama terkenal bukan sahaja dari Malaysia, tetapi juga dari Jepun, Thailand, Singapura, Brunei, Itali, dan Australia.

Promosi landskap dan budaya automotif di Sarawak
Dikatakan bahawa, matlamat utama event ini adalah untuk mempromosikan landskap dan budaya automotif yang ada di Sarawak.
“Sebab itulah kami menjemput rakan-rakan dari Kuala Lumpur, Thailand, Jepun dan banyak lagi, kerana kami mahu meletakkan Sarawak dalam peta budaya automotif.
“Itulah sebabnya kami menganjurkan acara sebegini,” kata pengasas Fast Culture, Adibazli Affendi, dalam satu sidang media sempena acara prelude Fast Culture 25 ‘UnderGround’ di Sarawak Plaza semalam.

Barisan artis utama yang bakal hadir
Beliau turut mengumumkan barisan artis utama untuk festival muzik tersebut, termasuk Hujan, Joe Flizzow dan Sonaone, OAG (Satelit Ink), No Good, serta artis tempatan seperti Adruce Azman, Biak Ijal, dan Drasska.
Setakat ini, lebih 500 kereta telah mendaftar untuk festival ini, namun pihak penganjur menyasarkan untuk menarik antara 700 hingga 1,000 penyertaan.
“Dengan 500 buah kereta sahaja, kami sudah pun mencipta rekod di Kuching dengan jumlah kereta terbanyak dalam satu pameran,” kata Adibazli.
Sementara itu, bagi pengunjung festival, pihak penganjur menjangkakan kehadiran antara 5,000 hingga 15,000 orang, berdasarkan jumlah kehadiran tahun lalu yang hampir mencecah 10,000, melebihi sasaran asal sebanyak 4,000 orang.
Harga tiket bermula dari RM99 untuk satu hari, dan RM180 untuk dua hari (zon berdiri).
Tiket Rock Zone berharga RM160 untuk satu hari, dan RM300 untuk kedua-dua hari.
Namun, promosi khas di acara prelude menawarkan pas dua hari untuk zon berdiri pada harga RM100, dan Rock Zone pada RM200.

