Personaliti TikTok ini sering muncul dengan komedi senyap yang menghiburkan.
Miliki Pengikut TikTok Paling Ramai Di Dunia, Khaby Lame Rupanya Seorang Hafiz Al-Quran. Siapa yang tak kenal dengan Khaby Lame? Meskipun tidak bersuara dalam video kontennya, namun personaliti TikTok ini tampil kreatif dengan kandungan komedi senyapnya yang sering mengkritik panduan rumit yang sebenarnya boleh dilakukan dengan ringkas dan cepat.
Menerusi sebuah sesi soal jawab di laman media sosial itu baru-baru ini, Khaby Lame mendedahkan bahawa beliau adalah seorang Muslim yang mengamalkan gaya hidup sebagai seorang yang beragama Islam.

Malah, beliau juga memberitahu perkara yang sama dalam satu temubual media Itali.
Khaby, seorang personaliti TikTok yang datang dari ‘humble beginning’
Khaby yang kini berusia 22 tahun dilahirkan di Senegal pada tanggal 9 Mac 2000. Beliau berhijrah dari Senegal ke Itali bersama keluarganya semasa beliau baru berusia setahun. Walau bagaimanapun, beliau masih memegang kewarganegaraan Senegal meskipun kini menetap di Turin, ibu kota Piedmont di utara Itali.
@khaby.lame Non c’è bisogno di Didascalia😅——No Caption Needed.😅 #learnfromkhaby #LearnWithTikTok #ImparaConTikTok #nocaptionneeded ♬ suono originale – Khabane lame
Pada usianya 14 tahun, Khaby telah dihantar ke sekolah agama di Senegal untuk mendalami agama Islam dan kemudiannya menjadi hafiz atau penghafaz Al-Quran. Keluarganya bukanlah berasal dari keluarga yang kaya, namun beliau tetap menyatakan bahawa kehidupannya banyak dibentuk menerusi suasana kejiranan awam di Turin dan beliau berhutang budi dengan kejiranan awam itu.

Bapa suruh cari kerja, tapi fokus pada TikTok pula bawa tuah
Beliau mula menjinakkan diri dalam dunia ciptaan konten di TikTok sejak Mac 2020. Pada ketika itu, beliau kehilangan kerja sebagai pekerja kilang di Itali akibat pandemik COVID-19. Meskipun didesak bapanya untuk mencari pekerjaan, beliau menghabiskan masanya memuat naik video komedi senyapnya.
Usahanya membuahkan hasil apabila video reaksi mukanya yang bersahaja sambil menunjukkan cara ‘life hack’ yang lebih ringkas menarik perhatian pengikut dari seluruh dunia. Populariti yang dikecapi oleh Khaby ini juga membuatkan lelaki ini dijemput menjadi duta untuk jenama besar dunia seperti Hugo Boss dan Binance.

Bukan itu sahaja, beliau juga dijemput untuk berkolaborasi dengan pemain bola sepak terkenal dunia seperti Paul Pogba, Zlatan Ibrahimovic, Kylian Mbappe, Paulo Dybala, dan Raphael Varane selain muncul dalam video pengenalan pemain baru Juventus FC, Manuel Locatelli.
Khaby individu paling ramai pengikut TikTok di dunia
Pada tanggal 22 Jun 2022, Khaby diisytiharkan sebagai individu yang paling ramai pengikut TikTok di dunia dengan angka 142.7 juta pengikut, mengalahkan rekod TikToker dari Amerika Syarikat, Charlie D’Amelio yang mempunyai 142.3 juta pengikut. Beliau kini dianggarkan bernilai antara 1.3 hingga 2.7 juta USD.
Pengakuan Khaby ini membuatkan pengikut Muslim beliau berasa lebih terinspirasi dengan kejayaan yang dikecapi oleh personaliti ini sekaligus menjadikannya sebagai idola yang bukan sahaja berjaya dalam dunia ciptaan konten tetapi juga cemerlang dari segi agama.

Malah, sebelum beliau mendedahkan identitinya sebagai Muslim, Khaby Lame juga menggunakan platform nya bagi menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis.
Betul lah kata peribahasa, tuah ayam letak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.