RM400K diperuntukkan untuk naik taraf dewan sekolah, tergendala kerana caj RM57K SESCO
MP Stampin Desak SESCO Batalkan Caj RM 57K Untuk Naik Taraf Kerja Pembaikan Sekolah. Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, menyeru Syarikat SESCO Berhad (SESCO) untuk membatalkan caj peningkatan sebanyak RM57,000 yang dikenakan ke atas SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor.
Beliau berkata, beliau telah memperuntukkan RM400,000 kepada sekolah tersebut tahun lalu agar dewan sekolah tersebut dapat dipasang penghawa dingin sepenuhnya.

Projek naik taraf terpaksa tergendala jika sekolah tersebut dikenakan caj
“Semua kerja peningkatan termasuk penggantian tingkap, kerja-kerja pembaikan struktur, pemasangan penghawa dingin dan pendawaian semula dewan keseluruhannya telah diselesaikan.
“Satu-satunya perkara yang masih menghalang pelajar untuk menikmati dewan berhawa dingin ialah caj yang dikenakan oleh SESCO untuk meluluskan peningkatan daripada bekalan elektrik fasa tunggal ke tiga fasa.
“Sesco menegaskan bahawa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu membayar sejumlah RM57,000 untuk pertukaran bekalan elektrik daripada fasa tunggal kepada tiga fasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chong juga menyatakan bahawa pembantunya, Michael Kong, telah menulis surat kepada SESCO untuk memohon pengecualian caj tersebut, tetapi selepas beberapa bulan, mereka dimaklumkan bahawa Sesco telah menolak rayuan mereka dan tetap menuntut bayaran tersebut.
“Inisiatif ini adalah untuk keselesaan anak-anak kita dan untuk proses pendidikan mereka, dan SESCO seharusnya melihat ini sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya untuk membatalkan caj tersebut.
“Adakah pelajar tidak berhak menerima sedikit bantuan atau manfaat daripada SESCO yang merupakan syarikat milik penuh kerajaan Sarawak?” soalnya.
Beliau menyatakan akan menulis semula kepada SESCO minggu depan untuk memohon pertimbangan semula dan pengecualian jumlah tersebut, dengan harapan dia akan menerima jawapan yang positif daripada SESCO.

