Kepercayaan ini terkenal dalam kalangan masyarakat Iban di Sarawak.
Mungkin Ini Fakta Saintifik Di Sebalik Mitos Buaya Boleh Mengenal Keturunan Pembunuh Saudaranya. Buaya adalah seekor haiwan reptilia yang menakutkan tetapi dalam pada masa yang sama begitu menakjubkan. Malah, haiwan ini dikaitkan dengan sebuah legenda yang begitu sinonim dengan Sarawak iaitu legenda Bujang Senang.
Untuk pengetahuan anda, masyarakat Iban di Sarawak memiliki sebuah kepercayaan di mana buaya kononnya memiliki kuasa sakti iaitu dapat menghidu dan mengenal pasti keturunan pembunuh ‘saudaranya’. Disebabkan hal itu, majoriti daripada mereka tidak memakan daging buaya, bahkan takut untuk membunuh reptilia berkenaan kerana bimbang akan berjaya dijejaki dan dibahamnya sekiranya turun ke sungai.
Namun, adakah terdapat fakta saintifik yang menyokong kepercayaan ini?
Ramai sebenarnya yang tidak mengetahui bahawa buaya memiliki kebolehan pancaindera yang hebat. Salah satu ciri menarik tentang buaya adalah kemampuan ingatannya yang sangat kuat. Kemampuan ini membolehkan buaya mengingat dengan jelas setiap detail tentang persekitarannya, termasuk muka manusia yang pernah dilihatnya. Kebolehan ini digelar sebagai “memori fotografi” (photographic memory).
Penelitian ilmiah telah menunjukkan bahawa buaya dapat mengingati pelbagai jenis informasi yang berbeza, termasuk persekitarannya, makanan, serta individu yang pernah ditemui. Penglihatannya juga sangat baik, termasuk kemampuan untuk melihat warna dan dengan kejelasan seperti mata burung helang. Ini bermakna, jika seseorang pernah menyakiti atau membuatkan buaya berkenaan berasa terancam, buaya tersebut mampu mengingati wajah dan akan mengecam individu berkenaan sekiranya bertemu lagi.
Dari sudut saintifik, kemampuan ingatan fotografi ini sebenarnya terletak pada bahagian otak yang disebut hipokampus. Hipokampus buaya hampir sama besar seperti kebanyakan mamalia, termasuk manusia. Ini membolehkan buaya untuk memproses dan menyimpan informasi dengan cara yang lebih efektif.
Penglihatan buaya lebih cekap berbanding manusia
Dari sudut penglihatannya pula, buaya memiliki satu ciri yang dinamakan sebagai ‘jalur fovea’; sebuah partikel yang berbentuk bulat dan berada di tengah-tengah retina mata. Ciri inilah membolehkan mereka melihat sesebuah visual dengan begitu jelas, meskipun dalam kawasan kecil persekitaran visual mereka.
Dalam kes buaya, ia tersebar di tengah-tengah retina, dan ia memberikan mereka kejelasan maksimum. Tidak seperti manusia yang perlu menggerakkan mata sekiranya ingin minum ketika membaca buku, misalnya.
Ciri ini juga mencerminkan keupayaan ikonik pemangsa seperti buaya untuk mengintai menggunakan matanya sekadar di atas paras air, menunggu tanpa bergerak untuk mangsa bergerak dengan lebih dekat dan menyerang hendap.
Tidak hanya itu, buaya juga mampu menggabungkan informasi daripada berbagai indera untuk membentuk gambaran yang lebih lengkap tentang apa yang berlaku di sekitarnya. Misalnya, buaya dapat menggabungkan informasi daripada penglihatan visual, suara, dan aroma untuk mengenali dan mengingati objek atau individu yang berbeza.
Selain kebolehan mengingat, mereka juga memiliki kemahiran unik yang lain seperti mampu mengawal katup jantung mereka sendiri untuk mengawal aliran darah dan menjaga suhu panas badan walaupun mereka berdarah sejuk. Mereka juga memiliki tiga kelopak mata; dengan salah satu daripadanya direka untuk melindungi mata mereka di bawah air.
Buaya mangsa pemburu yang bijak
Kepintaran buaya juga hampir menyamai kebolehan manusia dari segi taktik memburu. Kajian saintifik daripada sekumpulan penyelidik daripada Universiti of Tennessee di Amerika mendapati bahawa buaya adalah salah satu daripada 20 spesis haiwan termasuk manusia yang mampu mengumpul kelompoknya sendiri, menyusun taktik serangan dan memburu secara serang hendap.
Justeru, kepercayaan masyarakat Iban ini berkemungkinan berpunca daripada kemampuan fizikal dan memori buaya yang agak kuat. Oleh kerana buaya dapat mengingati wajah manusia dengan begitu jelas dan berkebolehan memburu dalam satu kumpulan, ia mungkin boleh mengenali manusia yang mempunyai ciri-ciri fizikal yang sama dengan orang yang mencuba mengancam mereka.
Meskipun fakta saintifik ini kedengaran berkait rapat dengan kepercayaan ini, namun kebenaran ini masih belum dapat dirungkaikan dengan tepat. Mungkin ada asasnya, namun belum ada kajian saintifik yang benar-benar membuktikan sama ada buaya memiliki kemampuan untuk mengenali keturunan manusia dan mengejarnya.
Tidak kira apa pun kepercayaan yang ada, setiap haiwan memiliki fungsinya yang tersendiri di dalam ekosistem. Sebagai manusia, kita seharusnya menghargai keunikan haiwan, bersimbiosis bersama mereka dan memahami peranan penting yang dimainkannya dalam ekosistem.