Pahlawan Bario Yang Menjadi Benteng Terakhir Negara
Ngalinuh Bala, Perwira Dari Bario Sanggup Korbankan Diri Demi Negara. Dalam sejarah Malaysia, nama-nama pahlawan sering disebut sebagai simbol keberanian dan pengorbanan. Namun, di antara mereka, ada seorang wira dari tanah tinggi Bario yang namanya mungkin kurang dikenali tetapi jasanya tidak ternilai.
Beliau adalah Ngalinuh Bala @ Kilah Ratu, seorang anak Kelabit yang berjuang demi negara dan dianugerahkan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), penghormatan tertinggi untuk mereka yang menunjukkan keberanian luar biasa.

Serangan Hendap di Jalan Ulu Oya
Pada 29 April 1972, Ngalinuh yang ketika itu berpangkat Sarjan dalam Pasukan Polis Hutan Sarawak, diamanahkan untuk mengawal konvoi tiga buah lori Jabatan Kerja Raya (JKR). Lori-lori ini membawa bahan letupan dinamit yang diperlukan untuk kerja-kerja kuari di Batu 54, Jalan Ulu Oya, Sibu.
Perjalanan mereka berlangsung lancar sehingga sekitar jam 2 petang apabila konvoi itu diserang hendap oleh kira-kira 100 orang pengganas k0munis. Serangan bertali arus dengan muntahan peluru menyasarkan konvoi, menyebabkan keadaan menjadi huru-hara. Namun, Ngalinuh dan rakan-rakan seperjuangannya tidak gentar. Mereka segera mencari perlindungan sambil memastikan keselamatan pekerja JKR.
Keberanian Luar Biasa Seorang Pahlawan
Dalam keadaan terdesak, Ngalinuh dan Koperal Itim menyusun strategi bijak. Dengan menggunakan teknik perlindungan bergilir-gilir, mereka mara secara perlahan-lahan ke arah kedudukan musuh tanpa dikesan. Keberanian mereka membolehkan mereka menewaskan beberapa pengganas dan mengusir musuh dari kawasan serangan.
Pertempuran sengit itu berlangsung selama hampir empat jam. Sekitar jam 6 petang, satu pasukan polis hutan seramai 20 orang tiba sebagai bantuan setelah mendengar bunyi tembakan dari kejauhan. Namun, musuh tidak mudah menyerah kalah. Mereka mengubah strategi dengan berpecah kepada tiga kumpulan kecil dan meneruskan serangan dari pelbagai arah.

Dalam pertempuran ini, Ngalinuh akhirnya terkena tembakan di paha kanan akibat serangan seorang penembak tepat musuh yang bersembunyi di sebalik bukit kecil. Meskipun cedera, beliau tetap berjuang bersama pasukannya sehingga k0munis akhirnya berundur setelah mengalami kerugian besar.
Malam itu, Ngalinuh dan pasukannya tetap berjaga-jaga di lokasi serangan walaupun keletihan, kelaparan, dan kekurangan peluru. Hanya pada keesokan harinya, bantuan dari Sibu tiba untuk membawa keluar mayat-mayat musuh dan tahanan k0munis yang berjaya ditangkap.
Penghormatan Untuk Seorang Pahlawan
Risikan kemudian mendedahkan bahawa serangan hendap ini telah dirancang lebih awal. Maklumat mengenai laluan konvoi dipercayai telah bocor kepada k0munis melalui orang dalam JKR. Matlamat mereka adalah untuk merampas bahan letupan dan membunuh sebanyak mungkin anggota keselamatan.
Namun, mereka tidak menjangka keberanian luar biasa seorang anak Kelabit ini yang sanggup bertarung nyawa demi mempertahankan negara. Atas jasa dan pengorbanannya, Ngalinuh Bala dianugerahkan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) pada 6 Julai 1972 oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia.
Legasi Seorang Pejuang
Selepas insiden bersejarah ini, Ngalinuh terus berkhidmat dalam pasukan keselamatan. Pada 1 Julai 1983, beliau dinaikkan pangkat ke Sergeant Major dan pada 1 Januari 1999, beliau dinaikkan lagi ke pangkat Sub-Inspektor sebelum bersara pada tahun 2003.
Hari ini, nama Ngalinuh Bala mungkin tidak sepopular tokoh-tokoh lain dalam sejarah negara. Namun, kisah keberaniannya wajar dikenang oleh seluruh rakyat Malaysia. Beliau adalah bukti bahawa pahlawan sejati bukan sahaja berani, tetapi juga sanggup mengorbankan diri demi keamanan dan kesejahteraan negara.

