Tarik tali SATWA 2024, KV Keningau bawa pulang piala dan wang tunai RM 1,300
Pasukan KV Keningau Juara Kejohanan Tarik Tali SATWA. Pasukan pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau berjaya merangkul tempat pertama dalam Kejohanan Tarik Tali Piala Sabah Tug-Of-War Association (SATWA) kategori bawah 21 tahun (600 kg) peringkat negeri yang berlangsung pada 8 Disember 2024 bertempat di Taman Bandukan Riverside Resort, Keningau.
Kejohanan anjuran SATWA itu terdiri daripada beberapa kategori termasuklah kategori senior bagi lelaki dan perempuan dan hampir 25 pasukan yang bertanding dari pelbagai daerah. Pasukan KV Keningau berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM 1,300, piala kejohanan, pingat beserta sijil.

Pasukan tersebut terdiri daripada sepuluh orang pelajar iaitu Ferdi Lasung Suzandi, Abdul Afkar Sulaim Yunus, Langub Peter, Haiqal, Mohd Afif Dhiyauddin Mohd Ibrahim, Nick Syam, Jonnyvone Jaleus, Azwan Syafiee Roslie, Beniko Devis dan Arcell Salikin.
Mereka telah berlatih secara intensif di bawah bimbingan Nirwana Japili iaitu guru KV Keningau dan jurulatih jemputan iaitu Chan Yuen Fong. Hadiah bagi kejohanan tersebut disampaikan oleh Datuk Robert Tawik @ Mohd Nordin Mohd Hasnan Tawik yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah bagi kawasan Bingkor.
Pengarah KV Keningau, Nordin bin Akup, mengucapkan tahniah kepada pasukan ini atas pencapaian tersebut dan menganggap pencapaian ini sebagai salah satu bukti amalan terbaik bagi kolej tersebut yang sentiasa menyokong minat dan bakat para pelajar dan staf serta menggalakkan mereka untuk meneroka peluang dan platform yang mampu mengasah bakat dan kemahiran mereka.

