Remaja Keningau Menang Anugerah Penulisan
Pelajar KV Keningau Raih Anugerah Penulis Artikel Terbaik Di Majalah Nusantara. Seorang pelajar berbakat dari Kolej Vokasional (KV) Keningau, Iris Sofea Irin, 17, telah mengharumkan nama Malaysia apabila memenangi anugerah penulis artikel terbaik dalam majalah digital E-Magz keluaran STKIP PGRI Pacitan, Indonesia.
Karyanya yang bertajuk “Our Ocean is in Agony” dipilih sebagai yang terbaik dalam edisi pertama tahun 2025, yang bertemakan kesedaran mengenai bahan buangan.

Dari Sabah ke Indonesia
Artikel yang ditulis dalam Bahasa Inggeris ini berjaya menarik perhatian kerana ia bukan sahaja membincangkan keindahan lautan yang kaya dengan hidupan marin, tetapi juga mengetengahkan isu pencemaran alam sekitar yang semakin meruncing.
Iris Sofea mengulas mengenai peningkatan penggunaan plastik sekali guna yang memberi kesan negatif kepada ekosistem laut. Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penggunaan plastik, selain menggalakkan amalan kitar semula dan pengurangan penggunaan plastik secara menyeluruh.
Selain itu, Iris Sofea juga mencadangkan agar kerajaan menggubal undang-undang yang lebih ketat dalam usaha mengawal pencemaran dan menggalakkan industri untuk lebih bertanggungjawab dalam pemeliharaan alam sekitar. Cadangan ini mencerminkan kematangan dan pemikiran kritisnya terhadap isu global yang semakin membimbangkan.
Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang, meluahkan rasa bangga atas kejayaan pelajar ini dan berharap ia menjadi pemangkin semangat kepada pelajar lain untuk terus berusaha dalam bidang penulisan dan penguasaan bahasa. Menurut beliau, Iris Sofea sering aktif menulis dan menyertai pertandingan esei, menjadikannya contoh terbaik kepada rakan-rakan pelajar lain.
Majalah digital yang memaparkan artikel tersebut boleh dimuat turun secara percuma melalui pautan berikut: https://pbi.stkippacitan.ac.id/e-magazine/.

