Finalis Global Youth Awards: Kejayaan Hanisah Omar dengan Projek Mearpet
Pelajar Sabah, Hanisah Omar Finalis Global Youth Awards 2024. Hanisah Omar, 19, pelajar tahun akhir Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kolej Vokasional (KV) Keningau, telah berjaya menjadi finalis bagi anugerah berprestij untuk belia di seluruh dunia iaitu Global Youth Awards anjuran The Legacy Project yang berpusat di United Kingdom.
Majlis yang dilaksanakan secara bersemuka di London pada 2 November 2024 itu turut disiarkan secara langsung melalui media sosial bagi mereka yang tidak dapat hadir secara fizikal. Hanisah merupakan salah seorang daripada tiga finalis bagi kategori kepimpinan dalam bidang kreativiti atas projek keusahawanan sosialnya iaitu Mearpet.

Projek Mearpet yang dilancarkan oleh Hanisah pada awal tahun 2023 merupakan satu projek yang menghasilkan boneka-boneka watak cerita rakyat Sabah daripada pakaian dan patung terpakai dan seterusnya mengelakkan pakaian dan patung ini daripada menjadi bahan buangan fabrik.
Boneka-boneka ini dijahit oleh pelajar-pelajar berkeperluan khas daripada jurusan pembuatan pakaian dengan upah bagi perkhidmatan mereka dan ianya digunakan untuk mendidik dan menghibur kanak-kanak serta dijual sebagai cenderamata.
Hanisah Omar Cetus Inspirasi di Global Youth Awards
Memandangkan persembahan boneka tersebut adalah berasaskan cerita rakyat etnik-etnik di negeri ini, ianya membantu memelihara warisan budaya masyarakat tempatan. Hanisah meluahkan rasa terharu atas pencalonan tersebut dan dia menganggap ini sebagai pembakar semangat untuk dia meneruskan projek ini agar ianya dapat disebarluaskan dan terus memberi faedah kepada komuniti dan alam persekitaran.
Pengarah kolej itu, Nordin bin Akup, mengucapkan tahniah kepada Hanisah kerana berjaya menempa sebuah lagi pengiktirafan atas salah satu inisiatifnya di kolej tersebut. Menurut Nordin, Hanisah merupakan salah seorang pelajar yang paling proaktif di kolej itu atas projek-projek berimpak sosial yang telah diwujudkan olehnya dan dia telah meraih beberapa geran dan anugerah atas usaha-usaha murni ini.

