Sarawak kehilangan pemimpin era moden Sarawak
Digelar Bapa Permodenan, Ini Antara Jasa Allahyarham Taib Mahmud Buat Sarawak. Seluruh Sarawak hari ini dikejutkan dengan pemergian Mantan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud awal pagi tadi. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira pukul 4.40 pagi di Kuala Lumpur ketika menerima rawatan di sebuah hospital swasta.
Nama Allahyarham bukanlah nama yang asing lagi buat warga Bumi Kenyalang kerana beliau telah pun memimpin Sarawak selama 33 tahun dari 26 Mac 1981 hingga 28 Februari 2014.
Ini menjadikan beliau sebagai pemimpin yang paling lama memegang tampuk dalam arena politik di Sarawak. Dasar politik pembangunan yang diperjuangkannya selama pentadbirannya, menjadi asas kukuh untuk Sarawak menjadi negeri maju berpendapatan tinggi di Malaysia.
Jika Tunku Abdul Rahman dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan, Allahyarham Tun Taib pula digelar Bapa Pemodenan kerana jasa dan pengorbanan sepanjang hayat beliau memajukan Sarawak hingga dikenali bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia.
Pada 1 Mac 2014, Tun Abdul Taib Mahmud dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang ketujuh sehingga 26 Januari 2024.
Banyak pihak menganggap pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat Sarawak, terutamanya melihat kepada sumbangannya dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat Bumi Kenyalang.
Sumbangan terlalu besar Tun Abdul Taib Mahmud dalam membangun dan memakmurkan Sarawak sehinggakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari mengiktiraf beliau sebagai ‘Bapa Pembangunan Sarawak Moden’.
Dalam tempoh perkhidmatan kerajaan yang luar biasa selama 51 tahun, baik di peringkat Persekutuan dan kemudiannya memegang tampuk kepimpinan tertinggi Sarawak pada 1981, Tun Abdul Taib Mahmud sinonim dengan pembangunan pesat Sarawak.
Sebagai Ketua Menteri, Tun Abdul Taib Mahmud meletakkan asas yang kukuh untuk menjadikan Sarawak sebagai antara wilayah paling stabil dari segi politik dan maju dari segi ekonomi di Malaysia pada hari ini.
Dilahirkan dalam keluarga miskin pada 21 Mei 1936, Tun Abdul Taib Mahmud dengan bantuan bapa saudaranya memulakan persekolahan di Sekolah Rendah St. Joseph di Miri, seterusnya ke Sekolah Menengah St. Joseph di Kuching.
Keputusan cemerlang yang dicapai dalam peperiksaan Senior Cambridge pada 1958, melayakkan Tun Abdul Taib Mahmud mendapat biasiswa Shell bagi melanjutkan pengajian di Universiti Adelaide, Australia dan berjaya mendapat ijazah pertama dalam bidang undang-undang pada 1960.
Tun Abdul Taib Mahmud berkahwin dengan Puan Sri Laila Taib yang berketurunan Poland, meninggal dunia akibat barah pada 29 April 2009 selepas 50 tahun hidup berumah tangga. Pasangan ini dikurniakan empat orang anak.
Pada 18 Disember 2010, Tun Abdul Taib Mahmud berkahwin kali kedua dengan Toh Puan Ragad Kurdi Taib, seorang wanita Lubnan.
Tun Abdul Taib Mahmud mula berkhidmat dalam perkhidmatan awam pada usia muda sebagai ahli Kabinet negeri Sarawak pertama selepas Sarawak diberi kuasa pemerintahan sendiri oleh British pada 22 Julai 1963.
Kemudian beliau memegang pelbagai jawatan penting di peringkat Persekutuan dan negeri sebelum dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang keempat pada tahun 1981 menggantikan Tun Abdul Rahman Ya’akub.
Selaku Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dari 1981 hingga 2014, Tun Abdul Taib Mahmud juga memimpin Barisan Nasional (BN) Sarawak pada ketika itu.
Berpegang kepada dasar pembangunan politik, Tun Abdul Taib Mahmud berjaya menyatupadukan rakyat dan mewujudkan kestabilan politik di Sarawak. Beliau turut memainkan peranan besar dalam melaksanakan dasar bagi menjamin masa depan ekonomi Sarawak sebagai sebuah ekonomi moden.
Sebagai pemimpin yang mengutamakan pendidikan, hasrat Tun Abdul Taib Mahmud untuk menubuhkan sebuah universiti awam di Sarawak telah menjadi kenyataan apabila Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ditubuhkan secara rasmi pada 24 Disember 1992.