Tular di TikTok, pempengaruh Korea cuba menuruni tangga rumah Melanau di Kampung Budaya
Pempengaruh Asal Korea Selatan Terpukau Dengan Tangga Rumah Melanau Di RWMF 2024. Satu hantaran tular di media sosial telah menarik perhatian ramai, terutamanya penduduk di Sarawak.
Perkongsian itu menunjukkan sepasang suami isteri dari Korea Selatan yang mengunjungi Festival Muzik Dunia Rainforest (RWMF) di Kampung Budaya, Kuching Sarawak.

Pempengaruh dikenali sebagai Seonma telah berkongsi video di akaun TikToknya, menunjukkan suasana di Kampung Budaya semasa festival tersebut.
Dalam video itu, Seonma cuba menggalakkan suaminya untuk turun dari tangga sebuah rumah Melanau tradisional. Namun, suaminya berasa takut kerana tangga tersebut terlalu curam.
Seonma menjelaskan dalam videonya bahawa rumah tradisional tersebut menggunakan batang pokok untuk membina tangga. Suaminya pula menyatakan bahawa walaupun dia rasa boleh turun, dia memutuskan untuk tidak berbuat demikian kerana terlalu tinggi dan menakutkan.
Selain itu, pempengaruh itu kelihatan gembira dan terpukau dengan keindahan seni bina rumah Melanau. Bukan itu sahaja, suasana meriah di Kampung Budaya, dengan pelbagai persembahan dan aktiviti kebudayaan, turut memukau pasangan pelancong dari Korea Selatan itu.
RWMF 2024 yang bertemakan “Evolusi” mempersembahkan 22 persembahan dari 14 negara. Festival ini melibatkan 72 pemain antarabangsa dan 75 pemain tempatan.

