Dato Sri Roland Sagah Wee Inn menafikan ramai calon bukan dari Sarawak telah disenaraikan untuk temu duga berbanding anak jati negeri
Tular Isu Pengambilan Guru Dibuka Kepada Calon Luar Sarawak, Ini Penjelasan Dato Sagah. Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, meluahkan rasa kecewa terhadap pelaksanaan inisiatif Pengambilan Khas Sarawak yang bertujuan mengatasi kekurangan guru di sekolah rendah dan menengah di negeri itu.
Beliau menyatakan rasa tidak puas hati apabila inisiatif yang pada asalnya dikhususkan untuk anak jati Sarawak kini terbuka kepada calon-calon dari luar negeri tersebut.

Beliau belum menerima maklumat terperinci mengenai calon yang disenarai pendek untuk temu duga
“Saya secara peribadi sangat kecewa kerana inisiatif ini sepatutnya hanya untuk orang Sarawak. Tetapi sekarang, mereka mengatakan akan turut menemu duga calon-calon dari negeri lain di Malaysia.
“Memang kuasa berada di tangan mereka, dan kuasa ini terletak pada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP). Kita tiada hak dalam hal ini, tetapi saya rasa mereka tidak menepati janji yang diberikan,” katanya dalam satu sidang media di sebuah hotel terkenal di sini hari ini.
Sagah menjelaskan bahawa Sarawak TIDAK PERNAH menolak calon-calon dari luar negeri, namun beliau menegaskan jika pihak berkuasa ingin menemu duga calon dari negeri lain, ianya sepatutnya dilakukan pada waktu yang berbeza.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai jumlah calon yang disenarai pendek untuk temu duga, beliau berkata bahawa beliau belum menerima maklumat terperinci. Namun, untuk calon yang memiliki ijazah dalam bidang pendidikan, lebih 300 calon dari luar Sarawak telah disenaraikan.

Penafian Tentang Dakwaan Tular
Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan yang tular di media sosial bahawa lebih ramai calon bukan dari Sarawak telah disenaraikan untuk temu duga berbanding anak jati negeri, Sagah menafikan perkara tersebut sambil menjelaskan bahawa data sebenar belum dikeluarkan.
“Itulah sebabnya saya tidak mahu perkara ini (dibuka kepada semua rakyat Malaysia). Mengatakan bahawa lebih ramai calon luar daripada Sarawak disenarai pendek adalah tidak adil. Kita perlu konsisten dan rasional dalam hal ini,” katanya.
Menurut Sagah, hanya selepas proses pemilihan selesai barulah pihaknya akan mengetahui jumlah sebenar calon yang dipilih untuk mengisi jawatan tersebut. Beliau turut berharap agar 100 peratus daripada lebih 2,000 jawatan kosong yang ada dapat diisi oleh anak Sarawak.
“Kami berharap agar pengambilan ini dikhaskan hanya untuk Sarawak kerana sejak awal lagi, kami sudah jelaskan bahawa ia untuk anak jati Sarawak. Jadi, kami mahu ia kekal begitu.
“Memang kita tidak boleh halang mereka mengambil calon dari luar, tetapi biarlah ia dilakukan pada waktu lain, bukan pada masa yang sama dengan pengambilan ini. Perkara ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pemohon,” tambahnya.
Inisiatif ini menerima lebih 15,000 permohonan, dan hanya sekitar 6,000 calon telah disenarai pendek untuk temu duga secara bersemuka yang akan diadakan di tiga lokasi iaitu Kuching, Sibu, dan Miri.

