Premier Sarawak Perkenal Elaun Bulanan Mengikut Gred Penjawat Awam
Penjawat Awam Sarawak Bakal Terima Elaun Bulanan Khas Mulai Januari 2025. Penjawat awam di Sarawak bakal menerima elaun khas bulanan berdasarkan kumpulan gred masing-masing bermula Januari 2025.
Perkara ini diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam sesi penggulungan ucapan beliau di Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Elaun Khas Hingga RM700
Datuk Patinggi menyatakan bahawa kerajaan Sarawak akan menerima pakai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan. Langkah ini melibatkan peningkatan dan pelarasan gaji untuk semua penjawat awam di Sarawak.
“Sebagai tambahan kepada pelarasan gaji di bawah SSPA, bermula Januari 2025, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga bersetuju untuk memperkenalkan dan memberikan elaun khas bulanan kepada penjawat awam Sarawak berdasarkan kumpulan gred mereka,” jelas beliau.
Jumlah elaun khas tersebut adalah seperti berikut:
- RM400 untuk Kumpulan Pelaksana, Gred 1 hingga Gred 4.
- RM500 untuk Kumpulan Pelaksana, Gred 5 hingga Gred 8.
- RM600 untuk Kumpulan Pengurusan dan Profesional, Gred 9 hingga Gred 15.
- RM700 untuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi.
Pengumuman ini dijangka memberi manfaat besar kepada penjawat awam Sarawak, sekaligus meningkatkan motivasi mereka dalam menjalankan tanggungjawab kepada negeri dan rakyat.

