Amanda berjaya menawan gunung Kinabalu membawa anaknya
Penyakit Jantung Bukan Penghalang, Ibu Dari Sabah Galas Anak Tawan Gunung Kinabalu. Dipeti dari Bernama, Amanda Omeychua yang menghidap penyakit jantung tidak menjadikan penyakitnya itu sebagai penghalang untuk menggalas anak lelakinya yang berusia dua tahun enam bulan, menawan puncak tertinggi di Malaysia, Gunung Kinabalu, baru-baru ini.
Sepanjang pendakian selama dua hari satu malam ke puncak berketinggian 4,095 meter itu, Amanda yang berusia 30 tahun itu, bergilir-gilir dengan suaminya Muhammad Hafizuddin Mustapa, 31 tahun, menggalas Muhammad Noah Rizqullah yang seberat 25 kilogram berserta beg kelengkapan lain.

Wanita cekal berasal dari Kudat, Sabah
Wanita cekal yang berasal dari Kudat, Sabah tersebut berkata dia mahu mencipta sebanyak mungkin kenangan bersama-sama anaknya, sebelum dia menjalani pembedahan jantung kali kedua nanti.
Amanda telah didiagnosis dengan masalah dua injap jantung berlubang ketika berusia 14 tahun, menjalani pembedahan pertama bagi menggantikan injap bocor dengan injap plastik pada 2020.
Sebagai pesakit jantung berlubang, saya tidak dibenarkan mengandung dengan injap jantung sedemikian. Jadi, disebabkan kami berhasrat untuk memiliki anak sendiri, saya menjalani pembedahan memasukkan injap gantian yang bertahan 10 tahun,” kongsinya.

Perlu menjalani pembedahan kedua
Katanya lagi, dia perlu menjalani pembedahan kedua bagi menggantikan injap plastik itu dengan injap mekanikal tidak lama lagi.
Kalau terus guna injap mekanikal pada pembedahan pertama, saya langsung tidak boleh mengandung kerana perlu mengambil warfarin, iaitu ubat cair darah setiap hari,” jelasnya.
Bercerita tentang pengalamannya semasa mendaki Gunung Kinabalu, Amanda yang bekerja sebagai pemandu pelancong, berkata dia tidak berdepan sebarang masalah kerana aktiviti itu telah dilakukannya sejak lebih 10 tahun lalu.
Dia yang telah menawan hampir kesemua gunung di Malaysia, juga pernah sampai beberapa kali di Annapurna Base Camp dan Everest Base Camp di Nepal.

Sudah biasa membawa anaknya melakukan aktiviti seperti ini
Tambahnya lagi, dia juga sudah biasa membawa anaknya melakukan aktiviti seperti ini tetapi sebaik sahaja turun dari Gunung Kinabalu, dia tetap akan membuat pemeriksaan kesihatan ke atas Noah.
Amanda juga berkata bahawa Noah tidak banyak meragam atau menangis, malah dia seronok digalas didalam beg belakang dan kerap kali meminta diteruskan perjalanan apabila mereka berhenti bagi memeriksa keadaannya.
Oleh itu, Amanda menasihati ibu bapa di luar sana agar tidak membawa anak kecil mendaki semata-mata kerana terpengaruh dengan orang lain, selagi tidak melakukan persiapan secukupnya dari segi mental dan fizikal.

