Penyanyi KV Keningau raih pelbagai anugerah dan jemputan
Penyanyi KV Keningau Ungguli Pertandingan Idol Peringkat Negeri. Sebuah kumpulan penyanyi dari Kolej Vokasional Keningau telah berjaya meraih kejayaan besar dalam pertandingan nyanyian peringkat negeri bernama “Idol” yang dianjurkan oleh Kolej Vokasional Kudat pada 20 Ogos 2024.
Mereka bukan sahaja memenangi tempat pertama dan ketiga dalam kategori duet dan solo, malah turut merangkul anugerah vokal terbaik bagi kedua-dua kategori tersebut.

Pasangan duet Joye Elvanika Jaharin dan Lara Leolanda Jonathan telah memukau penonton dengan persembahan lagu Dangdut popular, “Secangkir Madu Merah”.
Manakala Noel Blane Charles Borromeo pula mempersembahkan lagu country bertajuk “In Case You Didn’t Know”. Persembahan mereka turut disokong oleh dua orang penari yang juga merupakan pelajar kolej.
Trio penyanyi KV Keningau curi tumpuan di pertandingan “Idol” Kudat
Ketiga-tiga penyanyi ini bukan asing dalam dunia hiburan, malah sering membuat persembahan di dalam dan luar Sabah. Mereka kerap menghiburkan penonton bersama kumpulan kugiran kolej dalam pelbagai majlis seperti anugerah pelajar, konvokesyen, dan sambutan perayaan.
Noel Blane, pelajar tahun akhir Teknologi Automotif berusia 19 tahun, pernah menjadi penyanyi di majlis konvokesyen peringkat kebangsaan bagi graduan kolej vokasional di Negeri Sembilan pada Mac 2024.
Joye Elvanika pula, pelajar tahun akhir Seni Kulinari yang juga berusia 19 tahun, telah menyertai beberapa pertandingan tempatan dan mula dikenali selepas memenangi pertandingan bakat peringkat negeri anjuran kelab belia OOZE pada tahun 2022.
Pelajar dilatih dengan lima orang guru
Walaupun bermula dengan genre pop, mereka kini telah mempelbagaikan repertoir mereka dengan genre seperti muzik rakyat, country, dan R&B. Para penyanyi ini dilatih dan diuruskan oleh pasukan seni persembahan kolej yang terdiri daripada lima orang guru.
Pengarah kolej, Nordin bin Akup, merakamkan penghargaan kepada para penyanyi dan pasukan pengurusan atas komitmen mereka dalam memberikan persembahan terbaik. Selain nyanyian, pelajar-pelajar kolej tersebut juga aktif dalam pelbagai bidang seni persembahan lain seperti tarian, teater, puisi, dan seni visual.

