Orang Jepun Kata Bawa Petanda Buruk? Betul Ke?

Pernah Ditemui Di Miri, Ini 8 Fakta Menarik Mengenai Ikan Naga. Beberapa hari yang lalu, gempar seekor ikan naga dijumpai dijual di Pasar Ikan Kampung Batu Satu, Kuala Baram, Miri. Ikan naga yang memiliki sirip berwarna kemerah-merahan ini didakwa tersangkut pada pukat milik nelayan tempatan.
Spesis ikan ini jarang ditemui kerana ia merupakan spesis ikan laut dalam. Penemuan ini dianggap sesuatu yang rare bagi masyarakat setempat. Bagi masyarakat Jepun, kehadiran ikan ini sebenarnya membawa petanda buruk. Sejauh manakah dakwaan ini? Berdasarkan hasil carian kami, inilah 8 fakta menarik tentang ikan naga ini.
1. Spesis Ikan Bertulang Paling Panjang Di Dunia

Ikan naga atau nama saintifiknya Regalecus glesne dikaji buat pertama kalinya oleh Peter Ascanius pada tahun 1772. Spesis ini jarang sekali dilihat kerana ia hidup jauh di dasar lautan. Walau pun tidak diketahui dengan tepat, namun ia dianggarkan berada di sekitar 1,000 meter di dasar laut.

Tahukah anda bahawa ikan naga ini merupakan ikan bertulang yang terpanjang di dunia? Kepanjangannya boleh mencapai sehingga 17 meter. Beratnya pula boleh mencapai sehingga 200 kg. Ikan naga yang ditemui di Miri pula mempunyai kepanjangan sekitar 12 kaki atau bersamaan dengan 3.65 meter. Itu pun dah panjang. Inikan pula 17 meter bang oi!
Spesis ikan ini juga digelar sebagai “King Of Herrings” kerana pergerakannya di laut sering diikuti oleh sekumpulan ikan herrings.
2. Nama Regalecus Bermaksud “Hak Milik Seorang Raja”

Jika diamati nama saintifik ikan ini iaitu Regalecus glesne, regalecus merupakan derivatif kepada perkataan regalis yang bermaksud raja dalam bahasa Latin. Nama spesisnya iaitu glesne pula berasal daripada Glesnaes, sebuah ladang di Glesvr, Norway di mana type specimen nya dijumpai.
Ikan naga ini juga disebut sebagai ribbonfish disebabkan bentuk badannya yang nipis dan panjang. Ada juga yang memanggilnya sebagai rooster fish kerana siripnya yang berwarna merah.
3. Makanannya Adalah Plankton Halus
Disebabkan ia hidup di dasar laut, ikan naga memakan plankton dan ikan-ikan halus. Selain itu, ia juga memakan obor-obor dan kadang kala, sotong. Ikan naga juga tidak mempunyai gigi sebaliknya ia mempunyai insang palsu untuk menangkap organisma halus sebagai makanan.
Walau pun ia bukan dalam kategori perenang yang baik, namun sirip dorsalnya sangat membantu untuk menegakkan badannya ketika berada di dalam air.
Jadi, haiwan ini tidak perlu mengejar mangsa, sebaliknya hanya perlu bergerak secara menegak dan memakan mangsa yang berada di laluannya.
4. Tidak Mempunyai Sisik

Berbeza dengan ikan bertulang keras yang lain, ikan naga tidak mempunyai sisik. Sebaliknya, ia mempunyai permukaan badan yang berkilat dan kadang kala dilihat seperti permukaan yang keras.
Kesan kilat ini sebenarnya merupakan kristal yang terhasil daripada kompaun yang dipanggil sebagai guanine pada badan ikan naga.
Molekul ini terhasil secara semula jadi pada badan ikan dan bergabung dengan sitoplasma, kemudian menghasilkan ciri-ciri metalik. Walaupun tahan dengan tekanan tinggi, namun badan ikan ini sangat lembut dan mudah rosak apabila berada di permukaan air.
5. Berenang Di Permukaan Air Menandakan Ia Sakit Atau Hampir Mati

Ikan naga ini dikatakan sakit atau hampir mati sekiranya ia berenang di sekitar permukaan air. Ada juga yang menyatakan bahawa perlakuan ini dilakukan oleh ikan naga dewasa jika mereka ingin membunuh diri. Namun begitu, saintis mendakwa bahawa fenomena tersebut berpunca daripada petir atau arus yang kuat menyebabkan mereka terdampar, stress dan akhirnya mati.
Walau pun sifat membunuh diri ini pernah direkodkan melalui beberapa penemuan, para saintis masih belum menjumpai penjelasan yang kukuh di sebaliknya. Malah, terdapat beberapa cara lain yang menunjukkan haiwan ini sengaja mencederakan dirinya hingga mati.
6. Petanda Buruk Berlaku Gempa Bumi

Di Jepun, spesis ikan naga yang lebih kecil (Regalecus russelii) ini dikaitkan dengan kisah legenda mereka. Dikatakan bahawa ikan naga ini merupakan suruhan dari Istana Tuhan Laut Ryūgū-jō. Mengikut kepercayaan tradisi Jepun, sekiranya ikan ini banyak terdampar di laut, ia menandakan bahawa akan terjadinya gempa bumi. Kepercayaan ini kembali kuat dalam kalangan penduduk Jepun setelah fenomena ini terjadi sebelum berlakunya gempa bumi dan tsunami pada tahun 2011.


Menurut akhbar Japan Times pula, kepercayaan ini mempunyai alasan saintifik yang dikemukakan oleh seorang saintis yang bernama Kiyoshi Wadatsumi. Beliau yang bekerja di sebuah badan NGO,e-Pisco, memberitahu bahawa ikan laut dalam lebih sensitif dengan pergerakan aktif yang merbahaya berbanding ikan yang tinggal berhampiran dengan permukaan laut.
7. Tidak Mempunyai Nilai Komersial Yang Tinggi

Ikan naga ini dikatakan tidak mempunyai nilai komersial yang tinggi di negara barat kerana tekstur isinya. Isinya seakan-akan isi jeli obor-obor atau lebih tepat, isi ikan lumek.
Namun begitu, ikan naga ini seringkali terjerat oleh nelayan dan dijual segar di market basah Jepun. Bahkan, ikan ini juga dijual di pasar basah Miri dan rata-rata individu yang pernah memakannya menjadikan ikan ini sebagai hidangan sup.
8. Nampak Ganas Tapi Sebenarnya Tidak Berbahaya
Di negara Barat, kemunculan ikan naga ini seringkali disalah ertikan sebagai kemunculan raksasa Loch Ness. Walau pun rupa bentuk fizikal nya nampak mengerikan, namun sebenarnya ikan tidak membahayakan pun. Bahkan, seorang ahli biologi yang juga merupakan pengacara, Jeremy Wade telah menyelam ke dasar laut dan mengatakan bahawa pengalaman menyentuh ikan naga yang hidup merupakan pengalaman yang mengagumkan dalam hidupnya.
Adakah anda pernah menjumpai ikan naga? Atau anda pernah memakan ikan ini? Kongsikan pengalaman rare anda di ruangan komen.