Mangsa ditipu melalui iklan penjualan produk di media sosial
Pesara Wanita Rugi Setengah Juta, Ditipu Produk Kesihatan Sindiket Penipuan e-Dagang. Dilaporkan bahawa, seorang pesara wanita di Sibu telah mengalami kerugian lebih kurang RM500,000 setelah ditipu sindiket penipuan e-dagang melalui iklan penjualan produk kesihatan tradisional China di media sosial.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata, kejadian itu berlaku selepas mangsa berminat dengan iklan tersebut di laman sesawang Facebook milik ‘Ti Zhi Guan Li.’

Menghubungi suspek menerusi aplikasi WhatsApp
Beliau berkata, mangsa telah menghubungi suspek, ‘Ti Zhi Guan Li’ menerusi aplikasi WhatsApp bagi urusan jual beli produk kesihatan tersebut.
Dikatakan, pada mulanya, urusan jual beli berkenaan berjalan lancar sehingga suspek menawarkan mangsa untuk menjadi pembekal produk kesihatan di daerah Sibu agar mangsa boleh mendapatkan harga yang lebih murah sehingga mencapai persetujuan tanpa sebarang perjanjian.
Mancha berkata, laporan polis telah diterima berhubung kejadian itu pada Jumaat.
Menurut beliau lagi, suspek menjelaskan bahawa mangsa perlu membuat pembayaran kos modal dan pengangkutan untuk membawa masuk produk kesihatan dari China ke Malaysia.

Namun demikian katanya, suspek mengatakan produk kesihatan tersebut telah ditahan oleh pihak kastam di Lapangan Terbang Luala Lumpur dan meminta mangsa untuk membuat pembayaran bagi pelepasan produk tersebut ke daerah Sibu.
Beliau menjelaskan bahawa, pada pertengahan Disember 2023 hingga penghujung Julai 2024, mangsa telah membuat sebanyak 45 transaksi wang secara berperingkat ke enam akaun bank yang berbeza berjumlah lebih kurang RM500,000.
Mangsa kemudiannya menyedari dirinya telah ditipu setelah semua pembayaran dilakukan, tetapi mangsa masih lagi diminta untuk membuat pembayaran lain.
Oleh itu, Mancha menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan pelbagai cara dan taktik penipuan oleh sindiket yang berleluasa.

Tidak melayani panggilan telefon yang tidak dikenali
Beliau berpesan agar orang ramai dinasihatkan tidak melayani panggilan telefon yang tidak dikenali.
Dalam masa yang sama, orang ramai turut disarankan agar tidak mudah panik, cemas mehupun takut dengan sebarang dakwaan yang dibuat ke atas diri jika tidak melakukan apa-apa kesalahan.
Turut ditegaskan juga, orang ramai dinasihatkan agar tidak memberikan maklumat perbankan kepada individu atau mana-mana pihak yang tidak dikenali.
Tambah beliau lagi, orang ramai boleh menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 jika anda merupakan mangsa penipuan siber seperti ‘phone scam,’ ‘love scam,’ e-dagang, pinjaman tidak wujud dan sebagainya dan sekiranya baru sahaja membuat transaksi pemindahan wang ke mana-mana akaun bank atau e-dompet suspek.

