Harga Cili Padi Boleh Naik 3 Kali Ganda Di Sabah
Petani Sabah Kongsi Pengalaman Jual Cili Padi Boleh Raih Hampir RM100 Sekilo. Individu bernama Fahmie Abu Bakar telah memuat naik hantaran tular di Facebook berkenaan dengan kenaikan harga cili padi di Sabah yang mencecah RM89.90 per kilogram.
Menurut beliau, fenomena ini berlaku setiap hujung tahun berdasarkan 11 tahun pengalamannya membuka kebun di Sabah. Kenaikan harga ini sering kali disebabkan oleh beberapa faktor musim dan perayaan seperti musim hujan, Krismas, Tahun Baru, Tahun Baru Cina (CNY), dan Hari Raya Puasa.


Bekas Pekerja Pejabat Ini Pilih Bertani
Dalam strategi pertanian beliau, pokok cili akan dicantas pada bulan September atau Oktober dan ditanam semula untuk memastikan hasil tuaian dapat dilakukan pada Disember. Ketika musim perayaan seperti yang disebutkan, harga cili padi akan melambung tinggi, memberikan peluang kepada para petani untuk menikmati keuntungan besar. Beliau juga berkongsi bahawa umur pokok cili ini boleh bertahan sehingga ke Hari Raya Haji.
Namun, menurut pemerhatiannya, terdapat beberapa isu yang menyumbang kepada kenaikan harga yang melampau, selain daripada faktor cuaca dan perayaan, iaitu:
- Persepsi rendah terhadap pertanian – Ramai yang masih melihat pekerjaan ini sebagai pekerjaan kelas ketiga dan tidak mempunyai masa depan yang cerah.
- Kaedah konvensional yang digunakan – Masih ramai yang mengusahakan tanaman secara konvensional, dalam tanah, yang mana sangat terjejas ketika musim hujan.
- Kekurangan usaha pemasaran – Kebanyakan petani enggan keluar menjual hasil tanaman mereka, sebaliknya mengharapkan pembeli datang sendiri.
- Ekspektasi yang tidak realistik – Tidak semua masa harga produk pertanian adalah harga ‘jackpot’. Petani perlu bersaing dengan ladang besar yang mampu mengeluarkan hasil yang jauh lebih banyak.
- Kurang strategi pertanian – Ramai yang menanam tanpa kajian yang mendalam, sekadar mengikuti cara yang sudah lazim tanpa mengambil kira pelbagai aspek penting dalam pertanian.
Fahmie juga berkongsi pengalaman beliau selama 16 tahun sebagai petani dan menekankan bahawa pertanian mempunyai masa depan yang cerah, dan sekiranya ia tidak memberikan pulangan yang baik, beliau sudah lama kembali bekerja di pejabat.

