Bekas Pelajar SMK Pitas Mula Daftar di UMS Berkat Bantuan Pelbagai Pihak
Hampir Terlepas Pendaftaran UMS, Tular Anak Petani Sabah Kini Bakal Jejak Kaki Di Universiti. Crisnanalina Jumis, 20, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pitas yang sebelum ini menghadapi kesukaran untuk membayar yuran pendaftaran Universiti Malaysia Sabah (UMS), akhirnya akan mula mendaftar esok.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, memaklumkan perkara ini selepas menerima laporan daripada pihak UMS.

Kerajaan dan Rakyat Bersama Bantu Crisnanalina Teruskan Pengajian di UMS
“Saya telah diberitahu oleh pihak UMS bahawa Crisnanalina akan dibawa dari kampungnya dan dijadualkan berdaftar di UMS pada Jumaat ini. Kami berusaha sedaya upaya untuk memudahkan urusan pendaftaran bagi pelajar-pelajar yang memerlukan,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Kementerian juga, melalui Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar serta Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UMS, akan menguruskan bantuan yang bersesuaian untuk memastikan Crisnanalina dapat meneruskan pengajiannya dengan selesa.
“Bantuan ini bukan hanya untuk Crisnanalina, tetapi turut tersedia untuk semua siswa di institusi pengajian tinggi (IPT). Pelajar boleh mendapatkan pelbagai bentuk bantuan, sama ada dari Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, yang diuruskan melalui HEP universiti,” tambah beliau.
Datuk Mustapha turut mengucapkan terima kasih kepada media dan rakyat Malaysia yang sangat prihatin terhadap masa depan pendidikan anak-anak Sabah, terutama yang datang dari kawasan pedalaman seperti Crisnanalina.
“Kisah Crisnanalina dari Paitan ini adalah satu contoh realiti yang dihadapi oleh anak-anak di kawasan pedalaman, di mana mereka sering kali mengalami kesulitan untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Selain itu, Yayasan Perkasa Siswa (YPS-KPT) juga akan menyalurkan bantuan awal bernilai RM1,000 terus ke akaun Crisnanalina untuk kegunaan persediaan memulakan pengajian di universiti.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang prihatin dengan nasib Crisnanalina. Semangat prihatin seperti ini perlu diteruskan selaras dengan elemen Ihsan dalam gagasan Malaysia Madani,” tambah beliau.
Datuk Mustapha turut mendoakan kejayaan Crisnanalina dalam pengajiannya, dan menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa bersedia membantu pelajar-pelajar yang memerlukan sokongan.

